Anwar PM unggul: Selesai rundingan tarif, konflik bersenjata dalam seminggu
- Suara Keadilan

- Aug 2
- 2 min read

Kewibawaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terserlah pada minggu ini apabila beliau menunjukkan ketokohannya menyelesaikan rundingan tarif timbal balik dengan Amerika Syarikat (AS) dan mengakhiri konflik bersenjata di sempadan Thailand dan Kemboja dalam tempoh singkat.
Menurut Timbalan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat, Bryan Ng Yih Miin (gambar), Malaysia meraikan kejayaan besar dalam diplomasi ekonomi apabila AS pada semalam mengumumkan pengurangan tarif tetap ke atas barangan eksport negara ini daripada 25% kepada 19%, berkuat kuasa 1 Ogos 2025 hasil panggilan telefon PM Anwar kepada Presiden AS, Donald J Trump sebagai pelengkap rundingan yang dimulakan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
"Keputusan ini adalah hasil rundingan yang dipacu secara langsung oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
"Pengurangan tarif ini memberi manfaat besar kepada sektor eksport utama negara seperti elektrik dan elektronik, perabot, minyak sawit dan getah, sekali gus meningkatkan daya saing produk Malaysia di pasaran global serta menyumbang kepada kestabilan harga dalam negara.
"Kesan positif ini melangkaui sempadan ekonomi. Ia mengukuhkan keyakinan pelabur terhadap keupayaan Malaysia memimpin rundingan strategik dalam era global yang tidak menentu," kata Bryan Ng dalam kenyataan.
Manakala sebagai pengerusi ASEAN, PM Awar dan Malaysia telah berjaya merundingkan perjanjian gencatan senjata antara dua negara bertelagah, Thailand dan Kemboja pada Isnin lalu.
Kata Bryan Ng, ketokohan PM sebagai Pengerusi ASEAN terbukti penting apabila beliau berjaya mengetuai inisiatif perantaraan dalam menyelesaikan konflik tersebut dalam rundingan beberapa jam di Seri Perdana, Putrajaya.
"Hasil daripada usaha diplomatik Malaysia yang diketuai beliau, satu persetujuan gencatan senjata tanpa syarat berjaya dicapai pada 28 Julai 2025.
"Inisiatif ini bukan sahaja menyelamatkan nyawa dan mengurangkan penderitaan penduduk awam, tetapi juga berjaya mengelakkan krisis kemanusiaan rentas sempadan, gelombang pelarian, dan gangguan rantaian bekalan serantau yang boleh membawa kepada lonjakan inflasi serta ketidakstabilan politik dan ekonomi ASEAN," katanya.
Tegas Bryan Ng, secara keseluruhannya, keberhasilan dalam rundingan ekonomi dan kestabilan serantau tersebut menzahirkan bahawa Datuk Seri Anwar adalah Perdana Menteri terbaik yang pernah dimiliki oleh Malaysia.
Ketegasan beliau dalam mempertahankan prinsip, keupayaan menjalin kerjasama strategik antarabangsa, dan kebijaksanaan dalam meredakan konflik, katanya, membuktikan Malaysia berada di landasan kukuh untuk terus memainkan peranan penting sebagai suara keamanan, kestabilan dan kemakmuran di rantau ini.
"Sebagai rakyat Malaysia, kita wajar berdiri dengan penuh rasa bangga dan bersyukur kerana memiliki seorang Perdana Menteri seperti Datuk Seri Anwar – seorang negarawan unggul yang memimpin negara dengan hikmah, prinsip, dan keberanian dalam mendepani cabaran dunia masa kini," katanya lagi.
Melalui peristiwa seminggu ini, kata Bryan Ng, PM Anwar mencipta imej sebagai perunding yang disegani dan berunding dengan maruah, memimpin dengan kebijaksanaan, serta menyumbang kepada keamanan dan kemajuan serantau.









Comments