top of page

Anwar kenang Dato' Onn nasionalis dihormati

  • Writer: Sidiqin Omar
    Sidiqin Omar
  • 1 day ago
  • 2 min read
DS Anwar mengenang pimpinan UMNO lalu yang lebih bersifat nasionalis dan merakyat di Johor
DS Anwar mengenang pimpinan UMNO lalu yang lebih bersifat nasionalis dan merakyat di Johor

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengimbau jasa Allahyarham Dato' Onn Jaafar sebagai tokoh nasionalis dan bekas Menteri Besar Johor yang dihormati kerana pendekatan kepimpinan berprinsip serta dekat dengan rakyat.


Beliau berkata Dato' Onn yang berbasikal ketika turun padang memberi penerangan kepada rakyat, melambangkan gaya itu sebagai kepimpinan sederhana dan berjiwa rakyat yang wajar dijadikan teladan oleh pemimpin masa kini.


"Dulu kita ada Dato' Onn Jaafar sebagai Menteri Besar Johor, seorang panglima dan nasionalis yang saya sendiri hormati. Dia pun pernah naik basikal," katanya.


Beliau secara berseloroh berkata, pendekatan turun padang secara sederhana itu menggambarkan keikhlasan pemimpin dalam mendekati rakyat.


Justeru, Pengerusi Pakatan Harapan itu turut menegaskan bahawa pemimpin tidak wajar bersikap angkuh atau memperlekehkan penjawat awam kerana mereka merupakan pelaksana dasar negara.


"Kita kena hormat penjawat awam. Mereka bukan kuli kita, mereka pekerja kita yang perlu dihormati," katanya.


Beliau berkata Kerajaan MADANI memberi perhatian kepada kebajikan penjawat awam termasuk pelarasan gaji yang disifatkannya sebagai antara tertinggi dalam tempoh lebih 12 tahun.


"Kerajaan kita menaikkan gaji penjawat awam. Ini cara kita menghargai mereka," katanya.


Dalam pada itu, Anwar turut mengingatkan jentera PH supaya menyampaikan penerangan kepada rakyat menggunakan pendekatan berhemah dan beradab, bukannya retorik keras atau provokasi politik.


"Jawab dengan kerja keras, jawab dengan berhemah, jawab dengan baik. Bil-hasanah, bil-hikmah," katanya.


Bil-hikmah merupakan kaedah penyampaian mesej politik dengan hujah yang tepat, berfakta dan disesuaikan dengan audien tanpa menimbulkan kekeliruan atau emosi berlebihan.


Manakala Bil-hasanah adalah kaedah menyampaikan teguran atau penerangan dengan bahasa yang sopan, beradab dan penuh hormat tanpa menghina atau menjatuhkan pihak lain.


Jelas Anwar, pendekatan itu penting bagi memastikan mesej parti sampai kepada rakyat dengan jelas tanpa menimbulkan ketegangan, selain memperkukuh keyakinan pengundi terhadap PH menjelang PRN Johor.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page