Anwar Disanjung Dunia, Politik Perkauman Masih Membelenggu Pilihanraya


Selepas lebih tujuh dekad merdeka, rakyat sepatutnya memilih pemimpin berdasarkan keupayaan, integriti, rekod perkhidmatan dan dasar yang membawa kesejahteraan bersama
Oleh: Dr Baharudin Ali Masrom Al-Haj
Kekalahan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Negeri Sembilan dan Melaka memberikan satu isyarat politik yang cukup serius kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan.
Lebih menarik, kekalahan ini berlaku ketika Anwar semakin mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa sebagai pemimpin yang lantang memperjuangkan keadilan, keamanan, isu Palestin dan kepentingan negara-negara membangun.
Persoalannya, mengapa seorang pemimpin yang dihormati di pentas dunia menghadapi kesukaran mendapatkan kepercayaan pengundi di tanah air sendiri?
Politik perkauman
PRN Johor menyaksikan BN menang besar dengan 48 daripada 56 kerusi, manakala PH hanya memperoleh lapan kerusi. Di Negeri Sembilan, BN memperoleh 18 kerusi, PH 11 dan PN tujuh. Di Melaka pula, BN menang 21 kerusi, PN tiga dan PH hanya empat daripada 28 kerusi.
Ini bukan lagi kekalahan terpencil, sebaliknya satu pola politik yang perlu diberikan perhatian serius.
Punca pertama ialah politik sentimen kaum dan agama yang masih menjadi faktor dominan dalam menentukan pilihan politik rakyat Malaysia, walaupun negara sudah lebih tujuh dekad mencapai kemerdekaan. Naratif Melayu-Islam, ancaman terhadap kedudukan Melayu dan penolakan terhadap DAP berjaya membentuk persepsi sebahagian besar pengundi Melayu.

BN dan PN, walaupun mempunyai sejarah persaingan politik yang panjang, berjaya memanfaatkan kerjasama pilihanraya dan sentimen penyatuan undi Melayu.
Kedua, PH menghadapi masalah kehilangan momentum reformasi. Ketika Anwar mengambil alih kerajaan pada November 2022, rakyat meletakkan harapan tinggi terhadap perubahan politik, pembanterasan rasuah, pengurangan kos sara hidup dan pembaharuan institusi.
Namun, sebahagian rakyat merasakan perubahan yang dijanjikan belum cukup pantas dan menyeluruh. Mereka mahu melihat hasil yang dapat dirasai dalam kehidupan seharian, bukan sekadar mendengar pengumuman dasar dan kenyataan politik.
Ketiga, PH menghadapi dilema politik identiti. DAP terus menjadi sasaran naratif politik lawan yang menggambarkan parti itu sebagai ancaman kepada kepentingan Melayu. Walaupun naratif tersebut tidak semestinya berasaskan fakta, ia berjaya mempengaruhi persepsi sebahagian pengundi.
Pada masa yang sama, PH belum berjaya meyakinkan sebahagian besar pengundi Melayu bahawa kerajaan pimpinan Anwar benar-benar membawa kepentingan mereka.
Keempat, terdapat tanda-tanda keletihan pengundi terhadap politik Kerajaan Perpaduan. Kerjasama PH-BN yang suatu ketika dahulu dianggap sebagai formula kestabilan kini berhadapan dengan persoalan kepercayaan. Pengundi yang dahulunya menyokong PH mungkin kecewa apabila melihat parti-parti yang pernah bertentangan kini berkongsi kuasa.
Kelima, PH perlu mengakui bahawa kekuatan Anwar sebagai pemimpin nasional tidak semestinya diterjemahkan kepada kekuatan calon dan jentera parti di peringkat negeri. Keputusan pilihan raya banyak dipengaruhi oleh isu tempatan, personaliti calon, khidmat masyarakat dan kemampuan jentera akar umbi.
Bukan penolakan terhadap Anwar
Saya berpendapat kekalahan PH tidak semestinya bermaksud seluruh rakyat menolak Anwar secara peribadi. Namun, keputusan tiga PRN ini membuktikan bahawa populariti antarabangsa tidak menjamin sokongan domestik.
Anwar sebaliknya perlu memperkukuh keyakinan rakyat melalui prestasi kerajaan, integriti, keadilan ekonomi dan pelaksanaan reformasi. Malaysia tidak boleh selama-lamanya terperangkap dalam politik ketakutan antara kaum dan agama.
Selepas lebih tujuh dekad merdeka, rakyat sepatutnya memilih pemimpin berdasarkan keupayaan, integriti, rekod perkhidmatan dan dasar yang membawa kesejahteraan bersama.
PH perlu memahami bahawa pilihanraya bukan pertandingan siapa paling hebat berpidato, siapa paling popular di luar negara atau siapa paling kuat menyerang lawan. Pilihanraya ialah referendum kepercayaan rakyat. Rakyat tidak menolak perubahan. Tetapi rakyat boleh menolak sebuah kerajaan apabila perubahan yang dijanjikan tidak dirasakan dalam kehidupan mereka.
Jika PH gagal membaca mesej ini, PRN yang baru berlalu mungkin menjadi amaran awal kepada keputusan Pilihan Raya Umum akan datang. Mahu tidak mahu, PH kena memikirkan strategi baharu jika ingin terus menang pada PRU16.
Dr Bam Al-Haj merupakan penulis bebas dan ahli NeuroMarketing Strategist.




Comments