Anwar bidas negara guna slogan demokrasi rampas tanah Palestin
- Suara Keadilan
- Feb 5
- 2 min read

Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas pendekatan negara yang menggunakan slogan palsu untuk mempertahankan “satu-satunya demokrasi di Timur Tengah” berkaitan isu Palestin untuk menghalalkan rampasan hak ke atas sebuah bangsa.
Perdana Menteri berkata teknologi ketenteraan moden, sistem pengawasan dan birokrasi negara telah digunakan untuk memperkukuhkan dasar pembunuhan dan penindasan.
"Seperti zaman kolonial dahulu, kuasa sering menyamar di sebalik slogan keselamatan dan kestabilan, sedangkan hakikatnya ia sedang mengukuhkan pengusiran dan pembunuhan beramai-ramai," katanya ketika berucap pada majlis peluncuran buku " A Malek Bennabi Reader" dan penubuhan International Institute of Future Studies di Institut Pemikiran Islam dan Ketamadunan Antarabangsa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (ISTAC-UIAM) hari ini.
Karya dua jilid mengenai pemikir kelahiran Algeria itu ditulis oleh Prof Dr Mohamed El-Tahir El-Mesawi.
Hadir sama Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Presiden UIAM Tan Sri Samsudin Osman dan Rektor UIAM Dr Osman Bakar.
Anwar berkata berdasarkan kepada pemikiran Bennabi, perkara itu mencerminkan jurang besar atau decalage iaitu di satu pihak, terdapat kesedaran manusia dan hati nurani moral manakala di pihak lain, terdapat kemajuan sains dan teknologi yang berkembang tanpa batasan.
"Masyarakat moden memiliki kuasa besar ke atas dunia fizikal dan sosial, namun perkembangan etika mereka gagal mengikuti kemajuan ini. Kesenjangan ini, menurut Bennabi, mengundang dehumanisasi dan mengancam masa depan kita bersama," katanya.
Perdana Menteri berkata usaha untuk membebaskan diri daripada penjajahan sahaja tidak mencukupi malah mereka perlu membangunkan kembali maruah dan harga diri yang telah lama diruntuhkan oleh penjajahan.
Namun tegas beliau penjajah juga mempunyai tanggungjawab iaitu mereka harus menghadapi sejarah mereka sendiri, melepaskan ilusi keunggulan dan menghapuskan mentaliti yang membenarkan penindasan.
"Hanya dengan ini dunia dapat mengubah sejarah ke arah keadilan," katanya.
Tambah Anwar pemikiran Bennabi menyatakan kebebasan yang hakiki bukan sekadar bersifat politik atau ekonomi kerana sebuah masyarakat yang memberi hak politik tetapi membiarkan rakyatnya dalam kemiskinan ekonomi bukanlah masyarakat yang benar-benar merdeka.
"Begitu juga, sebuah masyarakat yang menjamin kesejahteraan material tetapi menindas kebebasan intelektual dan politik juga tidak bebas. Bennabi membayangkan demokrasi sebagai satu sintesis, di mana kebebasan politik dan sosial bersatu untuk menjamin maruah manusia. Inilah inti pati demokrasi Islam – sebuah sistem yang membebaskan manusia bukan sahaja daripada penindasan luaran tetapi juga daripada perhambaan dalaman," ulas Anwar.
Tambahnya Bennabi menyeru kepada kebangkitan semula, bukan hanya dalam bentuk politik tetapi dalam pengertian yang lebih luas dan menyeluruh.
"Untuk membebaskan diri daripada warisan kolonialisme, masyarakat perlu menghapuskan mentaliti ketertindasan, sama seperti mereka meruntuhkan struktur fizikal pemerintahan kolonial.
"Ini bermakna menolak budaya empayar (culture d’empire) dan membangunkan budaya peradaban (culture de civilisation) yang berpaksikan prinsip etika dan spiritual yang menjunjung martabat manusia," katanya.
Comments