top of page

Anthony Loke masih bertugas, proses peletakan jawatan belum selesai – Abun Sui

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
2 hours ago
3 min read

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook masih menjalankan tugas sebagai Menteri Pengangkutan kerana proses peletakan jawatannya belum diselesaikan secara rasmi, kata Ahli Dewan Negara, Abun Sui Anyit (gambar).


Beliau berkata, keputusan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP berhubung kedudukan Loke tidak dengan sendirinya menamatkan pelantikan beliau sebagai anggota Jemaah Menteri Kerajaan Persekutuan.


Hal itu, kata Abun, tidak perlu dipertikaikan oleh pembangkang seolah olah pemimpin DAP bermain 'drama' mengenai peletakkan jawatan.


"Saya menghormati pandangan Ketua Penerangan Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari, mengenai persoalan mengapa Anthony Loke masih menjalankan tugas sebagai Menteri Pengangkutan selepas keputusan CEC DAP berkaitan kedudukannya.


"Bagi saya, jawapannya agak mudah. Selagi peletakan jawatan rasmi seseorang Menteri belum melalui proses yang sewajarnya dan belum diputuskan oleh pihak yang mempunyai kuasa berkenaan, maka Menteri tersebut masih mempunyai tanggungjawab untuk menjalankan tugasnya," kata Abun dalam satu kenyataan.


Menurut beliau, Loke sendiri telah menyatakan hasrat untuk meletakkan jawatan dan akan menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Katanya, pada masa sama, Anwar juga telah menyatakan tidak mahu membuat keputusan secara terburu-buru dan mahu mendengar penjelasan Loke terlebih dahulu.


"Maka pada hemat saya, tidak timbul persoalan mengapa Anthony Loke masih bekerja," katanya.


Abun Sui berkata, keputusan politik dalaman sesebuah parti perlu dibezakan dengan kedudukan seseorang dalam struktur pentadbiran Kerajaan Persekutuan.


"CEC DAP mempunyai kuasa untuk membuat keputusan berkaitan parti dan pendirian politik parti.


"Namun, keputusan CEC tersebut tidak dengan sendirinya menamatkan pelantikan seseorang sebagai Menteri dalam Kerajaan Persekutuan (yang perlu diputuskan oleh PM)," katanya.


Beliau berkata, pelantikan dan pemberhentian anggota Jemaah Menteri mempunyai proses serta kerangka perlembagaan tersendiri.


"Sebab itu, saya berpandangan bahawa selagi proses tersebut belum selesai, Anthony Loke wajar meneruskan tugas seperti biasa.


"Ini bukan soal mempertahankan mana-mana individu. Ini soal tatakelola, kesinambungan pentadbiran dan penghormatan kepada proses yang sewajarnya," katanya.


Menurutnya, sekiranya Perdana Menteri menerima peletakan jawatan Loke proses penggantian dan peralihan tanggungjawab boleh dilaksanakan.


Sebaliknya, katanya, jika Perdana Menteri berpandangan bahawa demi kepentingan negara tawaran peletakan jawatan itu tidak wajar diterima, kedudukan Loke sebagai Menteri Pengangkutan boleh diteruskan tertakluk kepada proses dan peruntukan yang berkenaan.


Abun Sui turut membangkitkan faktor kesinambungan pentadbiran kerana Loke mempunyai pengalaman mengendalikan Kementerian Pengangkutan sejak era Kerajaan Pakatan Harapan 1.0 pada 2018 lalu.


"Anthony Loke bukan orang baharu dalam Kementerian Pengangkutan. Beliau mempunyai pengalaman mengendalikan kementerian tersebut dan memahami pelbagai dasar, projek, perancangan serta isu yang sedang berjalan.


"Sudah tentu keputusan akhir adalah hak dan tanggungjawab Perdana Menteri berdasarkan pertimbangan yang sewajarnya," katanya.


Beliau berkata, pertukaran seseorang Menteri bukan sekadar melibatkan pertukaran nama, sebaliknya turut memberi kesan kepada kesinambungan dasar, projek dan pentadbiran kementerian.


"Bagi saya, kepentingan negara perlu menjadi pertimbangan utama. Pertukaran seorang Menteri bukan sekadar pertukaran nama.


"Ia melibatkan kesinambungan dasar, projek, pentadbiran kementerian dan hubungan dengan pelbagai pihak yang sedang berurusan dengan kementerian berkenaan," ujarnya.


Abun Sui menegaskan tindakan Loke untuk terus menjalankan tugas adalah selari dengan tanggungjawab terhadap kerajaan dan negara selagi beliau masih memegang jawatan berkenaan.


Dalam pasa itu, Abun turut mencadangkan supaya Perdana Menteri mempertimbangkan kepentingan negara sebelum membuat keputusan terhadap tawaran peletakan jawatan Loke.


"Jika beliau masih diperlukan untuk memastikan kesinambungan dan kelancaran pentadbiran Kementerian Pengangkutan, maka pengalaman dan pengetahuan beliau juga wajar diambil kira.


"Akhirnya, keputusan adalah di tangan Perdana Menteri berdasarkan pertimbangan yang terbaik untuk kerajaan dan negara," katanya lagi.


Sebelum ini, Ketua Penerangan Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari mempersoalkan tindakan Anthony Loke meneruskan tugas rasmi selepas menawarkan diri untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan.

Menurutnya, tindakan Loke wajar dinilai dari sudut tatakelola.

"Apabila seorang menteri sudah mengumumkan mahu berundur atas dasar prinsip, sewajarnya tindakannya selepas itu turut menggambarkan bahawa beliau sedang menuju pintu keluar," katanya dalam satu kenyataan di media sosial.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page