top of page

Antara norma baharu dan kebiasaan lama yang wajar dipertahankan

Updated: May 27, 2020


Oleh: Syed Ibrahim Syed Noh “Menariknya!” bisik hati kecil saya apabila membaca semula penulisan saya setahun yang lalu. Kebetulan tarikhnya hampir sama dengan tarikh saya sediakan rencana ini, iaitu 21 Mei. Pada masa itu pun dalam bulan Ramadan dan diambang Syawal. Tajuknya “Politik Khidmat dan Nilai Wajar Dikukuhkan”. Initipati penulisan saya pada ketika itu ialah berkait sentimen sempit agama dan perkauman yang dimainkan secara liar yang pada pendapat saya amat tidak berasas kerana ia bercanggah dengan prinsip keadilan, kebebasan, kesaksamaan serta memecahbelahkan perpaduan dan keharmonian, malah merencat pertumbuhan ekonomi. Pembangkang (pada ketika itu Umno-BN, Pas dan lain-lain) sentiasa memarakkan api sentimen tersebut. Kononnya hak orang Melayu dan Islam terhakis. Tak jaga agama. Jual Tabung Haji. Ikut telunjuk DAP. Macam-macam lagi tuduhan dan fitnah. Pas-Umno senyap sunyi Ia jelas bermotif politik kepentingan dan mengenepikan keutamaan kepada keharmonian negara kerana sebaik menjadi kerajaan, mereka kini sudah tak berbunyi. Tiada lagi cabar mencabar membangkitkan unsur-unsur kebencian serta kecurigaan dalam masyarakat. Hilang kata-kata berbaur perkauman, nada-nada Islam terancam, hak orang Melayu terhakis, Raja-raja Melayu dihina, Cina kuasai Malaysia, maruah Melayu tergadai dan LGBT semakin berleluasa. Mengapa mereka tidak bising apabila kilang arak dibenarkan beroperasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)? Meskipun kebenaran itu kemudian ditarik balik namun kesenyapan Umno dan Pas amat membingitkan. Justeru, dalam rencana saya setahun yang lalu itu, saya syorkan tiga tindakan penyelesaian. Pertama, pelaksanaan dasar yang menekankan keadilan. Kedua, penekanan kepada politik nilai dan hujah dan ketiga, penggiatan aktiviti dan khidmat kepada rakyat. Nah! Sekarang suasana telah berubah. Kerajaan telah berubah. Politik memang sentiasa berubah. Dinamik. Sekejap kawan sekejap lawan. Sekejap sepakat sekejap khianat walaupun tak semua. Tetapi yang lebih penting, kehidupan pun terpaksa berubah dengan serangan jangkitan wabak Covid-19. Norma baharu Perlu kebiasaan baharu atau “new norm”. Benar, Covid-19 bukan calang calang virus. Sehingga rencana ini ditulis, jumlah kes global sudah mencecah hampir 5 juta orang dengan lebih 300,000 kematian dan 1.7 juta pesakit sembuh. Di Malaysia, sudah melebihi 7,000 kes, 114 kematian dan hampir 6,000 pesakit telah sembuh. Kerajaan telah mengambil tindakan ketat melalui PKP, SOP dan pelbagai kaedah lain termasuk kawalan sempadan supaya jangkitan terkawal. Langkah ini sewajarnya diambil demi keselamatan nyawa. PKP dan nasihat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu dipatuhi. Namun ia tidak boleh pula disalah guna sebagai pelindung atau alasan semata-mata seperti yang berlaku kepada sidang parlimen baru-baru ini. Dalam pada PKP dilonggarkan sedikit melalui PKP Bersyarat, pelbagai sektor mulai dibuka, restoran dan kedai-kedai dibenarkan dibuka dengan SOP yang bersesuaian, Parlimen hanya dibenarkan bersidang untuk mendengar Titah DiRaja dan kemudian ditangguhkan. Upacaranya selesai kurang lebih sejam. Mengapa begitu? Menurut surat daripada Setiausaha Dewan Rakyat, ia selaras dengan keadaan semasa negara yang masih belum reda sepenuhnya daripada wabak Covid-19. Memang benar wabak belum reda tetapi jika segala langkah SOP diambil termasuk melakukan ujian saringan, pengamalan penjarakan sosial dan memakai pelitup muka, mengapakah sidang tidak boleh dilanjutkan beberapa hari? Takut bayang-bayang sendiri Saya percaya pada masa ini ramai yang sudah tahu kenapa. Ada kebimbangan berlaku kekecohan jika undi tidak percaya dibawa. Ada kekhuatiran berlaku pertelagahan. Baik. Katakanlah berlaku apa yang diandaikan. Persoalannya, apakah ia menyebabkan merebaknya wabak Covid-19 di Dewan Rakyat setelah semua langkah keselamatan diambil? Sebenarnya usul yang ditakuti oleh kerajaan itu saya percaya tidak akan naik pun kerana urusan kerajaan akan didahulukan. Mereka boleh sahaja bawa usul perbekalan tambahan dan Pakej Rangsangan Ekonomi untuk bacaan pertama ataupun terus dibahaskan. Tiada masalah. Masalahnya bukan di situ. Soalnya ialah kerajaan Perikatan Nasional (PN) takut dengan bayang-bayang sendiri tetapi berselindung di sebalik Covid-19 dan agenda Parlimen yang dipercayai telah disusun atur menurut kehendak kerajaan. Apakah ini kebiasaan baharu atau “new norm” yang dimaksudkan akibat daripada wabak Covid-19? Apakah prinsip pemisahan kuasa antara badan eksekutif, perundangan dan parlimen tergugat semula seperti zaman rejim BN? Saya harap tidak. Kebiasaan lama dipertahan Kebiasaan baharu kepada kehidupan ada kewajarannya terutama dari segi amalan kebersihan, sentuhan, pekerjaan, penjagaan kesihatan, ekonomi dan lain-lain. Ada kebiasaan baharu kita berpuasa tahun ini. Tiada bazar Ramadan. Tiada solat tarawih di masjid (kecuali beberapa orang). Ada kebiasaan baharu berhari raya tahun ini. Tidak solat hari raya di masjid tetapi di rumah. Tak balik kampung tetapi jumpa ibu ayah atas talian. Tiada rumah terbuka. Tiada kunjung mengunjung tetapi boleh video atas talian. Tiada takbir rumah ke rumah tetapi boleh takbir di rumah. Tiada marhaban. Namun tidak semua perlu kepada kebiasaan baharu. Prinsip, dasar dan tadbir urus pemerintahan yang baik seperti pemisahan kuasa dan fungsi parlimen sebagai semak dan imbang ialah kebiasaan lama yang bukan sahaja perlu dipertahankan tetapi wajib diperkukuhkan. Sebab itu meskipun Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin ada menyatakan bahawa dia hanya tumpu kepada wabak Covid-19 kerana rakyat sudah muak dengan politik, ia perlu difahamkan dengan betul. Politik nilai Rakyat tidak muak dengan politik nilai dan matang. Rakyat muak dengan ahli politik yang korup, politik pintu belakang, tipu muslihat melampau, Ahli Parlimen yang tidak kompeten dan cara mana kerajaan berlindung di sebalik Covid-19 untuk mengukuhkan kuasa. Kesimpulannya, marilah kita mendakap kebiasaan baharu kehidupan dengan kehadiran Covid-19. Banyak kebiasaan biasa perlu diubah kepada kebiasaan baharu demi keselamatan dan kesejahteraan semua. Kebiasaan baharu juga bermaksud meninggalkan kelaziman sikap prejudis, perkauman dan agama yang sempit. Tetapi janganlah kebiasaan baharu dan Covid-19 dijadikan alasan dalam menegakkan prinsip tadbir urus, politik dan pemerintahan. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Eid Mubarak 1441H, Selamat menyambut Eidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin, Minnal Aidin Wal Faaizin kepada seluruh umat Islam khususnya untuk rakyat di kawasan saya di Ledang, Johor. Juga kepada rakan-rakan dalam Pakatan Harapan dan Parti Keadilan Rakyat di semua peringkat khususnya di Johor. Moga pemergian Ramadan dan kedatangan Syawal akan membebaskan kita daripada hawa nafsu rakus dan dipenuhi dengan pegangan kukuh agama. Moga kita dilindungi daripada virus Covid-19 dan dikurniakan ketabahan menghadapi ujian ini. Ameeen. __________________________________________________________________________________ Penulis merupakan Pengerusi KEADILAN Johor dan Ahli Parlimen Ledang

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page