Anjing liar: Pindah ke kawasan hutan sebagai habitat baharu - ADN Kajang
- Akmal Manaf

- 6d
- 2 min read

Pertemuan rasmi akan diadakan bersama Exco Kerajaan Tempatan dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor bagi mendesak pelaksanaan tindakan yang lebih tegas dan bersepadu dalam menangani ancaman anjing liar di sekitar Kajang.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang, David Cheong Kian Young (gambar) berkata, isu berkenaan perlu ditangani secara menyeluruh menerusi beberapa strategi seperti mewujudkan pusat transit teratur dengan saranan menggunakan tanah kerajaan (hutan simpan) sebagai kawasan khas yang berpagar untuk menempatkan anjing liar yang ditangkap.
Katanya, kaedah itu lebih sistematik dan berperikemanusiaan tanpa perlu melibatkan pelupusan haiwan, sekali gus mengalihkan ancaman dari kawasan kediaman.
"Strategi lain adalah tentang sistem pengesanan dan identiti digital dengan menggunakan cip mikro sebesar sebutir beras yang disuntik di bawah kulit haiwan bertujuan membolehkan setiap anjing mempunyai identiti unik.
"Jika anjing tersebut terlepas dari kawasan transit atau dikesan di luar zon berpagar, pihak berkuasa dapat mengenal pasti dari mana asal haiwan tersebut.
"Seterusnya ialah kerjasama strategik jangka panjang iaitu menilai keberkesanan kaedah 'Tangkap-Mandul-Lepas-Urus' dengan penglibatan NGO bagi mengawal populasi serta mendidik masyarakat mengenai kepentingan pemandulan haiwan peliharaan," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut David lagi, langkah seterusnya bagi menangani ancaman haiwan liar itu adalah mengajak NGO pencinta haiwan untuk menguruskan pusat perlindungan sementara dan menggerakkan kempen anak angkat bagi mengurangkan bilangan anjing di jalanan.
Beliau berkata, pihak berkaitan juga perlu menyelaras garis panduan pemberian makanan secara bertanggungjawab agar tidak menimbulkan gangguan kebersihan, serta mengkaji penambahbaikan undang-undang kecil Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) agar lebih relevan dengan situasi semasa.
"Tindakan anjing yang semakin ganas di kawasan seperti Kampung Sungai Sekamat adalah manifestasi daripada tekanan biologi.
"Haiwan tersebut tidak bertindak ganas kerana 'jahat', tetapi kerana sistem biologi mereka telah memasuki fasa kecemasan untuk terus hidup.
"Keselamatan anak-anak dan komuniti di Kajang tidak boleh dipandang mudah dan setiap pihak harus bergerak senada bagi menamatkan kemelut ini secara tuntas," ujar beliau yang juga Pengerusi Biro Perpaduan Nasional Selangor.




Comments