Keputusan sepihak Norway tarik lesen eksport peluru berpandu dibantah keras
- Helmi Mohd Foad
- 11 minutes ago
- 2 min read

Malaysia membantah keras keputusan Norway menarik balik lesen eksport sistem peluru berpandu Naval Strike Missile (NSM) dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran tindakan itu boleh memberi implikasi lebih luas terhadap keseimbangan keselamatan serantau.
Perdana Menteri berkata, bantahan tersebut disampaikan sendiri kepada Perdana Menteri Norway Jonas Gahr Støre menerusi perbualan telefon baru-baru ini susulan keputusan unilateral Oslo membatalkan kelulusan eksport sistem persenjataan berkenaan.
"Saya menegaskan keputusan ini akan memberi kesan besar kepada kesiapsiagaan operasi pertahanan Malaysia dan program pemodenan Kapal Tempur Pesisir (LCS) TLDM.
"Ia juga mempunyai implikasi lebih luas terhadap keseimbangan serantau," katanya dalam kenyataan di media sosial.
Menurut Anwar, Malaysia telah memenuhi semua obligasi kontrak sejak ia dimeterai pada 2018, namun tindakan Norway menunjukkan tiadanya semangat saling menghormati dan kepercayaan strategik antara kedua-dua negara.
Beliau turut menegaskan kontrak antarabangsa tidak sepatutnya diperlakukan secara sewenang-wenangnya.
Perdana Menteri mengingatkan bahawa nilai strategik pembekal pertahanan Eropah akan terhakis sekiranya merasakan mereka berhak untuk mungkir tanpa sebarang akibat.
"Kontrak yang ditandatangani adalah instrumen yang serius dan mengikat. Ia bukan sekadar cebisan kertas yang boleh diperlakukan sesuka hati," katanya.
Laporan media tempatan sebelum ini menyebut Kementerian Pertahanan mengesahkan kerajaan Norway telah menarik balik lesen eksport bagi penghantaran NSM yang dijadualkan tiba pada Mac lalu.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata Malaysia terkejut dengan keputusan tersebut kerana kontrak pembekalan sistem peluru berpandu itu telah dimeterai sejak April 2018 dan dilaksanakan tanpa sebarang masalah selama ini.
Katanya, sistem NSM keluaran syarikat Kongsberg Defence & Aerospace dari Norway itu merupakan antara komponen utama persenjataan untuk melengkapkan kapal LCS TLDM.
"Malaysia telah memenuhi semua syarat dan tanggungjawab di bawah kontrak berkenaan. Justeru itu, keputusan saat akhir oleh pihak Norway amat mengecewakan," katanya.
Menurut sumber industri pertahanan, kontrak sistem NSM itu dianggarkan bernilai sekitar RM572 juta dan melibatkan pembekalan peluru berpandu anti-kapal jarak jauh dengan kemampuan serangan melebihi 300 kilometer.
Difahamkan, kerajaan Norway membuat keputusan tersebut atas alasan keselamatan negara serta dasar kawalan eksport pertahanan yang diperketatkan, namun tiada penjelasan terperinci diberikan mengenai faktor sebenar yang mendorong tindakan itu.
Syarikat Kongsberg Defence & Aerospace pula menjelaskan segala keputusan berkaitan lesen eksport berada di bawah bidang kuasa penuh kerajaan Norway dan syarikat hanya mematuhi peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa negara itu.
Isu berkenaan dijangka memberi kesan langsung kepada projek LCS TLDM yang sebelum ini sudah berdepan pelbagai kelewatan dan peningkatan kos.
Projek LCS yang dimulakan pada 2011 pada asalnya melibatkan pembinaan enam kapal tempur pesisir pantai, namun disemak semula kepada lima kapal selepas siasatan mengenai kelewatan dan masalah pengurusan projek.
Kapal pertama LCS dijadual diserahkan kepada TLDM hujung tahun ini sebagai sebahagian daripada pelan pemodenan armada laut negara.
Selain digunakan pada kapal LCS, sistem NSM itu juga dirancang untuk dipasang pada kapal frigat TLDM termasuk KD Jebat dan KD Lekiu bagi memperkukuh keupayaan tempur maritim negara.
Kerajaan kini dilaporkan sedang meneliti tindakan diplomatik dan perundangan susulan keputusan Norway itu yang disifatkan boleh menjejaskan keyakinan terhadap kebolehpercayaan pembekal pertahanan antarabangsa.
