Anggota Wanita KEADILAN lebih setengah juta, perkukuh sokongan kepimpinan PMX
- Redzuan Shamsudin

- 8 hours ago
- 1 min read

Sayap wanita Parti Keadilan Rakyat, Wanita KEADILAN mencatat perkembangan positif apabila jumlah keanggotaan wanita mencecah 554,334 orang setakat 20 Januari 2026.
Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat, Datuk Ginie Lim berkata, angka tersebut mencerminkan sokongan akar umbi wanita yang semakin kukuh terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX).
"Wanita KEADILAN mencatat perkembangan positif apabila keanggotaan wanita mencecah 554,334 orang setakat 20 Januari 2026, sekali gus menunjukkan sokongan akar umbi wanita yang kukuh terhadap kepimpinan Perdana Menteri," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, beberapa negeri mencatat jumlah keanggotaan wanita tertinggi termasuk Selangor dengan 173,380 anggota, diikuti Sabah (85,821) dan Perak (41,029).

Ginie berkata, perkembangan tersebut mengukuhkan keperluan untuk memperluas ruang kepimpinan dan perwakilan politik wanita di semua peringkat.
Beliau turut memaklumkan Mesyuarat Majlis Pimpinan Wanita KEADILAN Pusat yang dipengerusikan oleh Ketua Wanita KEADILAN, Fadhlina Sidek pada Rabu lalu menegaskan kesiapsiagaan jentera wanita dalam menghadapi cabaran politik semasa serta pilihanraya akan datang.
"Wanita KEADILAN komited memastikan sekurang-kurangnya 30 peratus kerusi ditandingi calon wanita sebagai langkah penting dalam agenda pemberdayaan wanita," katanya lagi.
Menurut beliau, dengan jumlah keanggotaan yang kini melebihi setengah juta, Wanita KEADILAN akan terus memperkukuh mobilisasi bagi melahirkan kepimpinan wanita yang lebih kuat, progresif dan berwibawa dalam landskap politik negara.




Comments