top of page

Anggota KEADILAN tidak sebulu boleh berundur secara terhormat - Syed Shah

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 6 hours ago
  • 2 min read

Parti perlu sentiasa berwaspada terhadap unsur dalaman yang boleh melemahkan KEADILAN, termasuk sikap segelintir anggota yang disifatkan sebagai “barah” dalam organisasi.


Ketua Cabang Titiwangsa, Syed Badli Shah Syed Osman (gambar), berkata KEADILAN merupakan sebuah wadah perjuangan politik yang terbuka dan tidak menghalang mana-mana anggotanya untuk meninggalkan parti.


"Parti ini adalah sebuah wadah perjuangan politik yang terbuka menerima kedatangan sesiapa sahaja. Itu beerti Keadilan juga tidak akan menghalang hasrat mana-mana anggota untuk meninggalkan wadah perjuangan kerana itu hak masing-masing," katanya dalam satu kenyataan media.


Menurut beliau, sepanjang 27 tahun perjuangan, KEADILAN telah melalui pelbagai fasa dengan kehadiran pelbagai individu, ada yang memberi manfaat dan ada juga yang akhirnya menjadi liabiliti kepada parti.


"Ada yang datang memberi manfaat, namun ada juga yang akhirnya menjadi barah kepada parti," katanya sempena ulang tahun penubuhan KEADILAN semalam.


Beliau menegaskan ancaman sebenar kepada kekuatan parti bukanlah daripada mereka yang keluar, sebaliknya daripada individu yang kekal tetapi bertindak sebagai “duri dalam daging”.


Sehubungan itu, beliau menasihatkan mana-mana anggota yang merasakan perjuangan parti tidak lagi selari dengan pendirian mereka supaya berundur secara terhormat.


"Mana-mana anggota yang merasakan KEADILAN sudah tidak lagi sesuai mahupun wadah perjuangannya sudah tidak selari dengan selera masing-masing, boleh memilih untuk keluar daripada terus menjadi barah kepada parti," katanya.


Mengulas lanjut, beliau berkata KEADILAN pernah berdepan episod lebih mencabar termasuk pengkhianatan dalaman, namun parti itu berjaya bangkit semula dengan lebih kuat.


Katanya, episod yang lebih sukar ketika berhadapan dengan pengkhianatan 'si kitol' dan kumpulannya pada 2020. Natijahnya, KEADILAN kembali lebih kuat dan berjaya berdiri sebagai sebuah kerajaan setelah episod si kitol memilih untuk keluar.


Beliau menegaskan, perpaduan dan kesetiaan dalam kalangan anggota amat penting bagi memastikan parti terus kekal kukuh dalam memperjuangkan agenda rakyat.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page