top of page

Anggota KEADILAN perlu bersatu pertahan parti, kukuh kepimpinan PMX

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 3 hours ago
  • 1 min read
Wan Anies menyeru anggota KEADILAN bersatu di belakang Presiden DS Anwar dalam ucapannya di MATC
Wan Anies menyeru anggota KEADILAN bersatu di belakang Presiden DS Anwar dalam ucapannya di MATC

Seluruh anggota Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) khususnya di Kemaman, Terengganu diseru untuk terus memperkukuh kesatuan serta memperhebat gerak kerja di peringkat akar umbi bagi mempertahankan parti dan kepimpinan Presiden yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX).


Seruan itu disampaikan Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Terengganu, Wan Anies Adnan ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) KEADILAN Kemaman yang berlangsung di Restoran Casa Dinda, Chukai baru-baru ini.


Menurut beliau, dalam keadaan negara berdepan cabaran geopolitik global yang memberi kesan kepada ekonomi, ahli parti perlu memainkan peranan lebih aktif dalam memperkukuh organisasi serta memastikan kestabilan politik terus terpelihara.


"Gerak kerja parti perlu dipertingkatkan terutama ketika negara berdepan konflik geopolitik dunia yang memberi impak besar kepada ekonomi. Pada masa sama, isu dalaman parti juga perlu diurus dengan bijaksana demi memastikan kekuatan parti terus utuh," katanya.

Perwakilan KEADILAN Kemaman mendengar ucapan pimpinan peringkat cabang
Perwakilan KEADILAN Kemaman mendengar ucapan pimpinan peringkat cabang

Beliau turut menegaskan bahawa usaha penerangan parti harus diperkasakan bagi menangkis fitnah dan propaganda pembangkang yang cuba menggugat kestabilan kerajaan serta merosakkan keyakinan rakyat.


"Penerangan parti mesti diperkukuh supaya rakyat mendapat maklumat tepat dan tidak terpengaruh dengan propaganda murahan yang bertujuan melemahkan parti serta kerajaan," tambah beliau.


Sementara itu, MATC KEADILAN Kemaman kali ini dianjurkan secara sederhana selaras dengan saranan Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim, agar sambutan Aidilfitri tidak diadakan sebagai langkah penjimatan berikutan ketidaktentuan ekonomi global akibat konflik geopolitik di Timur Tengah.


Pendekatan sederhana tersebut mencerminkan komitmen KEADILAN untuk mengutamakan disiplin kewangan serta keprihatinan terhadap situasi semasa negara, di samping memastikan fokus terus diberikan kepada usaha memperkukuh parti dan memperjuangkan agenda reformasi demi kesejahteraan rakyat.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page