top of page

Anggota KEADILAN Matang Harungi Proses Pemilihan Parti

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Apr 26
  • 3 min read

Updated: Apr 30



Oleh: Dr Mohd Fauzi Hj Fadzil


ULASAN: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) telah berjaya menyelesaikan pemilihan kepimpinan parti peringkat cabang untuk sesi 2025-2028 pada 20 April 2025. Proses pemilihan kepimpinan KEADILAN peringkat pusat akan diteruskan pada Mei 2025 untuk menentukan 76 orang anggota KEADILAN yang akan mengemudi parti diperingkat Angkatan Muda KEADILAN, Wanita KEADILAN dan Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN.


Setelah selesai pemilihan KEADILAN peringkat cabang maka dapat dilihat pelbagai maklumbalas diberikan oleh anggota, ada yang berpuas hati dan ada yang membangkitkan beberapa keraguan. Kesemua pandangan ini dilontarkan secara terbuka kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) KEADILAN, terutama Pengerusi JPP KEADILAN iaitu YB Dr. Zaliha Mustafa.


Keadaan sedikit tegang sehinggakan ada anggota yang kalah membuat ugutan untuk mengheret Pengerusi JPP KEADILAN ke mahkamah, malah ada anggota yang menang membuat ugutan untuk melepaskan jawatan yang dimenangi kerana tidak berpuas hati dengan keputusan keseluruhan pemilihan.


Wujud kematangan dalam kalangan anggota


Namun di sebalik hiruk-pikuk yang mewarnai pemilihan KEADILAN pada tahun ini, ia turut menunjukkan bahawa wujud kematangan dalam kalangan ahli KEADILAN menguruskan perasaan tidak puas hati. Sehingga kini tiada sebarang tindakan protes secara melampau dilakukan oleh anggota KEADILAN terkait pemilihan kepimpinan sesi 2025-2028.


Ugutan-ugutan yang muncul usai pemakluman keputusan pemilihan kepimpinan KEADILAN peringkat cabang boleh dianggap sebagai cara anggota meluahkan perasaan, namun ia tidak bermaksud wujud perasaan benci di dalam hati anggota KEADILAN.


Bukti terhadap keadaan tersebut dapat dilihat apabila pelawaan Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari untuk anggota KEADILAN yang tidak berpuas hati menyertai Perikatan Nasional (PN) disambut sepi tanpa sebarang minat. Sehingga kini tiada seorang pun anggota KEADILAN mengisytiharkan meninggalkan parti dan menyertai PN.


Kepimpinan KEADILAN juga turut menunjukkan sifat matang kerana tiada sebarang tindakan disiplin diambil terhadap anggota yang menunjukkan protes secara terbuka. Setiap tuduhan yang dilemparkan kerana tidak berpuas hati atas hasil keputusan pemilihan kepimpinan KEADILAN peringkat cabang dibiarkan tanpa sebarang tindakan tegas kerana memahami kekecewaan yang anggota hadapi.


Malah ada anggota KEADILAN yang secara terbuka mengkritik kepimpinan KEADILAN di media tempatan dengan menuduh wujud ‘tangan ghaib’ yang menganggu hasil keputusan pemilihan kali ini. Tuduhan sekeras itu juga turut dibiarkan tanpa sebarang tindakan tegas kerana memahami kecewaan anggota tersebut yang tewas merebut jawatan Ketua Cabang.


Tokoh-tokoh besar yang gagal mempertahankan jawatan Ketua Cabang KEADILAN seperti Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad telah bergerak ke hadapan dan melupakan peristiwa kekalahan di Cabang KEADILAN Setiawangsa. Beliau terus memberi tumpuan untuk mempertahankan jawatan Naib Presiden KEADILAN pada pemilihan kepimpinan KEADILAN peringkat pusat sekitar Mei 2025 nanti.


Anggota, pimpinan terima keputusan


Pada 23 April 2025, MPP KADILAN telah mengadakan mesyuarat bagi membincangkan isu berbangkit terkait keputusan pemilihan kepimpinan KEADILAN peringkat cabang. Kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung KEADILAN, Dr Fuziah Salleh menyatakan bahawa mesyuarat tersebut telah berjalan dengan baik dengan semangat ‘comradeship’ dan setiakawan yang tinggi.


Malah mesyuarat tersebut turut menyatakan sokongan dan penghargaan ke atas usaha keras Jawatankuasa Pemilihan Parti 2025 yang di ketuai oleh Pengerusi JPP KEADILAN. Keadaan ini menunjukkan kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang cemerlang dalam mengawal emosi dan kesetiaan anggota KEADILAN. Kesemua keresahan terkait keputusan pemilihan parti yang lepas dapat dilupakan dan diterima oleh anggota KEADILAN selepas mendapat penerangan daripada beliau.


‘Democracy is noisy’ adalah kata-kata yang sesuai untuk menunjukkan ketelusan dalam pemilihan KEADILAN kali ini. Suara-suara anggota KEADILAN yang mewarnai pemilihan kali ini tanpa sebarang sekatan menunjukkan semangat demokrasi yang dijunjung di dalam parti tersebut.


Jika pemilihan sesebuah parti politik berlaku tanpa sebarang warna-warni maka ia menjadi penanda aras kepada masa depan parti politik tersebut yang malap. Keadaan pemilihan parti politik yang sunyi menunjukkan demokrasi di dalam parti politik tersebut telah lama mati.


Parti politik yang tidak wujud semangat demokrasi tidak mampu bergerak jauh di dalam pergelutan kuasa di Malaysia, namun KEADILAN ternyata berlainan dengan kemeriahan dan hiruk-pikuk yang diraikan.



Penulis merupakan Pengarah Komunikasi Angkatan Muda Keadilan Selangor

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page