AMK Selangor berdiri teguh di belakang institusi diraja
- Azuan Ab Rahman

- 3 hours ago
- 1 min read

Sebarang bentuk penghinaan terhadap Institusi Raja-Raja dianggap perbuatan yang sama sekali tidak boleh diterima.
Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Selangor menegaskan, sebarang perbuatan menghina institusi tersebut dianggap sengaja mencabar keharmonian dan kestabilan negeri.
"Tindakan menyentuh isu sensitif 3R (Race, Religion, Royalty) bukan sahaja melampaui batas adab dan tatasusila tetapi juga berpotensi mencetuskan ketegangan kaum.
"Oleh itu AMK Selangor menuntut Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) segera mengesan individu terlibat serta memastikan mereka heret ke muka pengadilan mengikut lunas undang-undang," kata Ketuanya Muhammad Iman Haziq Mohammad Hamzi (gambar) dalam satu kenyataan.
Beliau berkata begitu sebagai mengulas hantaran disifatkan menghina Sultan Selangor di laman Facebook “Huayan The Pureland Learning Centre”.
Menerusi kenyataan sama beliau memaklumkan, semua Ketua AMK cabang-cabang telah diarahkan untuk membuat laporan polis berhubung perkara tersebut.
Langkah itu sebagai tanda pendirian tegas mempertahankan Institusi Raja serta menolak sebarang bentuk provokasi yang boleh menggugat perpaduan.
"AMK Selangor akan terus berdiri teguh dalam mempertahankan kedaulatan Institusi Raja dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba mengapi-apikan sentimen perkauman serta menggugat keharmonian masyarakat," tambahnya.




Comments