AMK Sabah sokong cadangan tingkat kuota subsidi diesel
- Azuan Ab Rahman

- Aug 17
- 1 min read

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Sabah menyokong cadangan supaya Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan peningkatan kuota subsidi diesel khususnya bagi penerima yang layak di Sabah.
Ketuanya Zaidi Jatil (gambar) berkata, cadangan wakil pembahas Sabah, Junaidah Makku pada Kongres Nasional KEADILAN di Melaka itu membawa suara dan realiti kehidupan sebenar rakyat Sabah.
"Sabah mempunyai keluasan geografi, bentuk muka bumi dan jaringan perhubungan yang berbeza berbanding kebanyakan kawasan lain di negara ini.
"Masih terdapat masyarakat yang perlu menempuh perjalanan jauh untuk ke pekan, menghantar hasil pertanian, menjalankan perniagaan atau mendapatkan perkhidmatan asas.
"Pada pandangan kami, cadangan ini munasabah dan sewajarnya diberikan penelitian oleh Perdana Menteri serta Kerajaan MADANI," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau sementara itu menegaskan, pihaknya memahami dan menyokong matlamat Kerajaan MADANI untuk memastikan subsidi negara lebih bersasar, mengurangkan ketirisan serta memastikan bantuan dinikmati oleh golongan yang benar-benar layak.
Bagaimanapun di Sabah menurutnya, penggunaan diesel bukan semata-mata soal pilihan tetapi sebahagian keperluan meneruskan kehidupan dan mencari rezeki.
"Sabah tidak meminta layanan istimewa. Kita hanya mahu keperluan Sabah dinilai berdasarkan realiti Sabah.
"AMK Sabah percaya Kerajaan MADANI sentiasa terbuka mendengar pandangan dan melakukan penambahbaikan apabila sesuatu dasar memerlukan penyelarasan," jelasnya.




Comments