AMK Pulau Pinang gesa Wan Saiful kosongkan kerusi Parlimen
- Suara Keadilan

- Oct 15
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan digesa supaya meletakkan jawatan susulan pemecatannya daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pulau Pinang, Muhammad Zakwan Mustafa Kamal (gambar) berkata, keputusan Lembaga Disiplin Bersatu memecat Wan Saiful semalam jelas menunjukkan kepimpinan tertinggi parti sendiri telah hilang keyakinan terhadap integriti dan kelayakannya.
"Seseorang yang dipecat oleh partinya sendiri atas isu disiplin dan kredibiliti tidak wajar lagi memegang jawatan sebagai Ahli Parlimen, apatah lagi bercakap atas nama rakyat," kata Muhammad Zakwan dalam satu kenyataan.
Wan Saiful yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu bersama empat ketua bahagian lain dipecat serta merta atas dakwaan pelanggaran perlembagaan dan kod etika parti.
Beliau sebelum ini disiasat atas beberapa dakwaan termasuk isu pengumpulan Surat Akuan Bersumpah (SD) untuk menjatuhkan presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sementara itu, menurut AMK Pulau Pinang, perletakan jawatan Wan Saiful adalah wajar kerana beliau masih berdepan dengan pertuduhan rasuah yang dikaitkan dengan skandal Jana Wibawa ketika era pentadbiran Perikatan Nasional.
Skandal tersebut tegas kenyataan itu bukan sahaja mencemarkan maruah institusi Parlimen, tetapi juga imej kawasan Tasek Gelugor.
"Tindakan paling bermaruah adalah dengan mengosongkan kerusi Parlimen Tasek Gelugor dan memberi peluang kepada rakyat memperbaharui mandat mereka secara demokratik serta adil," tegas Muhammad Zakwan.









Comments