top of page

AMK Hulu Selangor kecam tohmahan terhadap Ketua Kampung Alah Batu

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
1 hour ago
1 min read

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Hulu Selangor mengecam tindakan Ahli Parlimen Hulu Selangor yang didakwa mentohmah seorang Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) berhubung program sumbangan bakul makanan.


Ketuanya, Muhammad Ghafurullah Ismail (gambar) berkata, berdasarkan penjelasan Ketua Kampung Alah Batu sebelum ini, beliau tidak pernah menghalang bantuan daripada disampaikan kepada penduduk seperti yang didakwa Mohd Hasnizan.


"Malah, beliau menyatakan kesediaan memberikan kebenaran menggunakan balai raya di bawah tanggungjawabnya sebagai Ketua Kampung.


"Persoalannya, jika niatnya untuk menghalang bantuan, mengapa beliau sendiri menawarkan penggunaan balai raya?" katanya dalam kenyataan.


Menerusi kenyataan sama, Ghafurullah turut mempersoalkan asas kepada beberapa dakwaan terhadap Ketua Kampung berkenaan, termasuk dakwaan menghalang program bantuan, menyebabkan penduduk takut untuk hadir, menetapkan syarat perlu dijemput ke program serta melarang penggunaan pelekat atau logo Parlimen.


Justeru beliau menggesa Ahli Parlimen tersebut mengemukakan bukti bagi menyokong dakwaannya supaya dapat dinilai secara adil dan mengelakkan persepsi politik yang boleh menjejaskan maruah Ketua Kampung serta nama baik penduduk Kampung Alah Batu.


"Jika berlaku salah faham, jelaskan. Jika terdapat kesilapan fakta, perbetulkan.


"Itu asas tanggungjawab seorang pemimpin kepada rakyat, bukannya (bermain) sentimen politik atau tuduhan yang boleh menjejaskan nama baik Ketua Kampung," katanya.

Muhammad Ghafurullah sementara itu mengingatkan bahawa perbezaan pandangan politik tidak wajar dijadikan medan perbalahan yang akhirnya menjejaskan kebajikan rakyat setempat.


"Ketua Kampung mempunyai tanggungjawab kepada seluruh masyarakat tanpa mengira kecenderungan politik, begitu juga wakil rakyat yang seharusnya memastikan bantuan sampai kepada golongan yang memerlukan.


"Saya berharap semua pihak mengutamakan kepentingan penduduk dan menyelesaikan perkara ini secara matang, terbuka dan berasaskan bukti," tambahnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page