top of page

Amirudin mohon hantar delegasi bawa isu Palestin ke Brussels

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 hour ago
  • 1 min read
DS Amirudin mengetuai misi bantuan kemanusiaan Malaysia ke Gaza serta delegasi Global Sumud Flotilla 2.0
DS Amirudin mengetuai misi bantuan kemanusiaan Malaysia ke Gaza serta delegasi Global Sumud Flotilla 2.0

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari sedang berusaha mendapatkan kebenaran dari pihak kerajaan untuk menghantar delegasi Malaysia ke Brussels, Belgium.


Menurutnya, penyertaan delegasi Malaysia di persidangan Ahli Parlimen Eropah pada 22 April ini penting untuk memastikan suara rakyat Malaysia mengenai isu kemanusiaan terutama di wilayah Palestin terus didengari di peringkat antarabangsa.

"Pada 22 April ini akan ada persidangan Ahli Parlimen Eropah di Brussels. Saya sedang dapatkan kebenaran untuk Perdana Menteri ataupun Malaysia dapat menghantar delegasi.


"Ada dua atau tiga perkara penting yang harus dikemukakan termasuk untuk mendesak kepungan yang menjejaskan kehidupan harian rakyat Palestin ditamatkan segera," katanya.


Amirudin yang juga ketua misi bantuan kemanusiaan Malaysia ke Gaza serta delegasi Global Sumud Flotilla 2.0 itu temubual dalam program podcast Keluar Sekejap bersama Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan.


Beliau sementara itu turut menyuarakan kebimbangan terhadap cadangan peraturan baharu yang membolehkan hukuman gantung dikenakan ke atas tahanan Palestin.


"Peraturan ini berpotensi mendedahkan kira-kira 10,000 rakyat Palestin kepada hukuman tersebut dan ini merupakan isu kemanusiaan yang sangat serius," tambahnya.


Menerusi temu bual sama, Amirudin menyatakan keyakinan bahawa penglibatan aktif Malaysia dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 bersama negara lain mampu memperkukuh usaha melobi secara berterusan di peringkat antarabangsa.


"Melalui pendekatan diplomasi dan kerjasama pelbagai negara, Malaysia berpotensi memainkan peranan penting dalam memperjuangkan isu Palestin," ujarnya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page