Amirudin mahu pimpinan tempatan, PBT kukuh kerjasama demi rakyat
- Suara Keadilan

- 1 day ago
- 1 min read

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menyeru pimpinan tempatan, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi kerajaan di negeri itu mempertingkatkan kerjasama.
Menurutnya, langkah tersebut demi memastikan setiap perancangan dan dasar dilaksanakan secara selaras bagi memenuhi keperluan rakyat.
"Cabaran hari ini jauh berbeza berbanding 50 tahun lalu, terutama dalam mendepani masyarakat yang semakin terbuka serta landskap komunikasi yang pantas dan tidak menentu.
"Disebabkan itu, kita tidak boleh bergerak secara berasingan atau mengikut zon dan cara sendiri. Jika setiap jabatan bertindak tanpa penyelarasan, rakyat tidak akan melihat penyelesaian menyeluruh terhadap isu seperti pengurusan sampah, banjir dan kebajikan masyarakat," katanya dipetik.
Amirudin yang juga Naib Presiden KEADILAN berucap pada Majlis Berbuka Puasa Parlimen Gombak di Dewan Beringin, Taman Seri Gombak, malam tadi.
Acara itu dihadiri kira-kira 400 tetamu terdiri dari pelbagai agensi kerajaan dan pimpinan tempatan.
Beliau turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada kira-kira 30 anak yatim selain sumbangan Ihya Ramadan kepada agensi sekitar Parlimen Gombak sebagai simbolik sokongan dan keprihatinan terhadap masyarakat.
Dalam ucapannya juga Amirudin menegaskan, kepercayaan rakyat merupakan aset paling bernilai dalam pentadbiran kerana ia menjadi asas sokongan, rasa hormat dan keyakinan terhadap setiap keputusan kerajaan.
Justeru, tanpa integriti, kejujuran dan keikhlasan dalam mentadbir, sesebuah organisasi tegasnya boleh hilang kredibiliti dan rasa hormat masyarakat.
"Jika tiada kepercayaan, apa sahaja yang dilakukan tidak akan membawa makna. Kita tidak boleh rasa hebat atau bergerak sendiri. Pentadbiran yang gagal bekerja sebagai satu pasukan yang ampuh boleh runtuh," tambahnya.




Comments