Aminuddin bawa agenda pembangunan besar di DUN Linggi
- Suara Keadilan

- Jul 19
- 1 min read

Calon Pakatan Harapan (PH) DUN Linggi, Datuk Seri Aminuddin Harun (gambar) menawarkan pembangunan sebuah pelabuhan dan kawasan perindustrian di Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
Menurut beliau, pembangunan yang dirancang itu bakal meningkatkan kemudahan dan peluang ekonomi penduduk di kawasan berkenaan sekaligus membuka peluang pekerjaan kepada anak tempatan.
"Saya tidak berjanji (tetapi) saya telah melaksanakan... InsyaAllah, sebuah pelabuhan akan ada, kawasan perindustrian akan ada… Ini satu pembaharuan yang akan ada di DUN Linggi," katanya dipetik laporan media.
Pengerusi PH Negeri Sembilan itu turut menegaskan, segala perancangan yang dibawa bukan sekadar janji manis dalam pilihanraya, sebaliknya tindakan terbabit adalah berpandukan rekod pencapaian kerajaan sepanjang mentadbir negeri.
Mengulas keputusannya bertanding di kubu kuat Barisan Nasional (BN) dan berdepan penyandang kerusi tersebut, beliau mengakui ia bukan satu cabaran mudah. Bagaimanapun menyifatkannya sebagai tanggungjawab yang sanggup dipikul demi memperjuangkan kepentingan rakyat.
"Saya pasti banyak cabarannya. Saya tidak kata ia mudah, tetapi ini satu cabaran. Saya sendiri menawarkan diri kepada kepimpinan untuk bertanding di Linggi dan saya bersedia memperjuangkan nasib rakyat di kawasan ini," katanya.




Comments