top of page

Ambil tindakan tegas pemimpin Pas tohmah sahabat Nabi - Iman Haziq

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • May 13
  • 2 min read

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Selangor memandang serius kenyataan yang didakwa menghina para sahabat Nabi s.a.w melibatkan Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh.


Ketuanya, Muhammad Iman Haziq Mohammad Hamizi (gambar) berkata, pihaknya turut menegur sikap pemimpin Pas yang didakwa hipokrit apabila tidak segera menegur ketelanjuran ucapan Nik Zawawi tersebut berbanding menyerang pemimpin parti lawan dalam isu yang jauh lebih kecil.


"AMK Selangor menegur sikap hipokrit Pas yang kononnya mahu membuat laporan polis, sedangkan isu pokok yang perlu ditangani adalah tindakan dan tanggungjawab dalaman parti itu sendiri.


"Tidak wajar untuk Pas melepaskan diri dengan mengatakan bahawa kenyataan tersebut seolah-olah pandangan peribadi sedangkan ucapan itu dibuat di pentas ceramah Pas," katanya dalam satu kenyataan.


Beliau menegaskan bahawa ucapan yang merendahkan martabat sahabat Nabi s.a.w merupakan perkara serius yang tidak boleh diterima sama sekali.


"Isu ini bukan soal politik semata-mata, tetapi melibatkan adab dan sensitiviti umat Islam yang perlu dijaga dengan penuh tanggungjawab," ujarnya.


Sehubungan itu, AMK Selangor menggesa Pas mengambil tindakan tegas terhadap Ahli Parlimen Pasir Puteh itu serta membuat permohonan maaf terbuka kepada umat Islam.


"Tiada jalan lain melainkan Pas perlu berani mengambil tanggungjawab dengan memecat pemimpin tersebut dan memohon maaf tanpa berlengah," katanya.


Tambah beliau, sebarang usaha untuk menutup kelemahan melalui naratif politik atau tindakan kosmetik hanya akan menjejaskan kepercayaan rakyat.


"Jangan sesekali cuba menutup kelemahan dengan naratif politik atau mengalih perhatian melalui tindakan kosmetik seperti laporan polis," katanya lagi.


Terdahulu dalam video ceramah tular, Nik Zawawi didakwa mengungkap sifat sahabat Nabi s.a.w, Abu Bakar dan Umar yang melakukan pelbagai kemaksiatan sebelum memeluk Islam.


Bagaimanapun, terdapat ahli akademik dan pakar hadis yang menolak hal tersebut dan membetulkan fakta bahawa kedua dua tokoh itu merupakan individu terpuji dalam kalangan kaum Quraisy, meskipun sebelum memeluk Islam.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page