AMANAH tidak terlibat isu salah guna dana zakat - Faiz Fadzil
- Helmi Mohd Foad

- 3 hours ago
- 1 min read

Parti Amanah Negara (AMANAH) tidak terlibat dalam kes salah guna dana zakat yang kini berada di bawah siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Setiausaha Agungnya, Muhammad Faiz Fadzil (gambar) berkata perkara itu merupakan antara ketetapan utama yang dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Pimpinan Nasional parti yang diadakan malam tadi.
"AMANAH tidak terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan kes salah guna dana zakat yang sedang disiasat SPRM.
"AMANAH turut menggesa siasatan bebas dan telus dijalankan SPRM kerana dana zakat adalah bagi membantu golongan asnaf dan bukan untuk mengumpul kekayaan peribadi," kata beliau dalam kenyataan lewat malam tadi.
Sebelum ini penyokong pembangkang didakwa mengaitkan AMANAH dengan kes penahanan beberapa individu dari sebuah NGO oleh SPRM selepas disyaki menyeleweng dana zakat berjumlah kira-kira RM230 juta.
Dalam kenyataan sama, Muhammad Faiz turut mengumumkan Konvensyen Nasional 2026 AMANAH dijadualkan berlangsung di Seremban, Negeri Sembilan.
Perhimpunan tahunan parti tersebut diadakan selama dua hari bermula pada 22 hingga 23 Ogos depan.
Mengenai perkembangan kemelut politik di Negeri Sembilan, beliau berkata AMANAH mengutuk sekeras-kerasnya sebarang usaha membentuk 'kerajaan tebuk atap' kerana ia menggugat kestabilan politik serta mengganggu kelancaran pentadbiran kerajaan negeri.
"AMANAH turut mengambil maklum beberapa kes pendakwaan berkaitan isu politik terhadap beberapa orang ahli dan akan mengambil langkah sewajarnya untuk membela mereka," ujarnya.




Comments