top of page

AMANAH Selangor gesa Ronnie Liu tarik balik tuduhan ke atas Exco kanan

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 3 hours ago
  • 2 min read

Parti Amanah Negara Selangor memandang serius kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas pimpinan DAP, Ronnie Liu yang didakwa membuat tuduhan tidak berasas terhadap Exco Pertanian dan Infrastruktur Selangor, Datuk Ir Izham Hashim.


Pengarah Komunikasi AMANAH Selangor, Abbas Azmi (gambar) berkata kenyataan tersebut dilihat tidak mengambil kira sensitiviti serta konteks sebenar isu yang sedang dihadapi, khususnya penternakan babi yang sukar untuk diteruskan di negeri itu.


"Seharusnya saudara Ronnie Liu memahami isu ini mendapat perhatian Kebawah Duli Tuanku Sultan Selangor sehingga baginda mengeluarkan Titah segala aktiviti berkaitan dengan penternakan babi di Negeri Selangor dihentikan.


"Antara faktor yang menyebabkan isu ini mendapat perhatian serius dari pihak Tuanku Sultan Selangor berkaitan pencemaran dan melibatkan maslahat umum," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut beliau, isu berkaitan penternakan babi juga melibatkan kesihatan awam dan penyakit berjangkit.


"Begitu juga penyebaran virus terbaru African Swine Fever (ASF) yang berleluasa. Maka Titah Tuanku Sultan berkenaan isu ini amatlah bertepatan dengan masa dan keadaan pada hari ini," jelasnya.


Sebaliknya, beliau yang juga Ahli Dewan Negeri Seri Serdang turut menyifatkan kenyataan Ronnie Liu itu sebagai tidak beretika dan seolah-olah tidak memahami prinsip asas pentadbiran negeri serta konsep Rukun Negara.


"Saudara Ronnie Liu pernah menjawat sebagai Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor ketika beliau sebagai pimpinan DAP. Namun setelah tidak lagi menjadi pimpinan dan ahli parti DAP, nada sudah berubah seolah - olah tidak pernah terlibat dengan Kerajaan Negeri," katanya.


Abbas menegaskan bahawa rakyat kini lebih menilai keupayaan dan kewibawaan pemimpin dalam melaksanakan tugas berbanding retorik politik.


Sehubungan itu, AMANAH Selangor menggesa Ronnie Liu menarik balik kenyataan berkenaan serta memohon maaf.


"AMANAH Negeri Selangor tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya kenyataan tersebut tidak ditarik balik dan permohonan maaf tidak dibuat," tegasnya.


Semalam dalam hantaran di Facebooknya, Ronnie Liu mendakwa Izham yang juga Pengerusi Amanah Negeri Selangor adalah orang yang mencetuskan kontroversi penternakan babi bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri, dan cadangan untuk menamatkan penternakan babi tempatan serta memindahkan penternakan babi ke Bukit Tagar adalah daripada beliau.


Ronnie turut mendakwa AMANAH akan lenyap di Selangor kerana kontroversi penternakan babi itu.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page