top of page

AMANAH beri sokongan padu MB Aminuddin terus tugas teraju N Sembilan

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 3 hours ago
  • 2 min read

Parti Amanah Negara (AMANAH) terus memberikan sokongan kepada Menteri Besar (MB) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun untuk menerajui pentadbiran negeri di tengah kemelut politik yang tercetus susulan tindakan Barisan Nasional (BN) keluar daripada kerajaan.


Pengerusi AMANAH Negeri Sembilan, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman (gambar) berkata, tindakan dilakukan 14 wakil rakyat BN itu memeranjatkan memandangkan parti tersebut dan Pakatan Harapan memasuki Pilihan Raya Umum Negeri pada 2023 lalu dalam gabungan politik yang sama.


"Slogan kita dulu "monang bersamo" dan dalam memeteraikan perjanjian (kerjasama politik) kita diminta untuk BN bertanding di DUN Lenggeng sebagai tanda ikhlas. Jadi kita tidak ada perhitungan di belakang, kita tidak ada fikir nak khianat.


"Pendirian kita sekarang terus beri sokongan kepada kerajaan di Yang Dipertuan Besar dan Luak Yang Empat," katanya dalam sidang media bersama Aminuddin dan Pengerusi DAP negeri, Anthony Loke di kediaman Menteri Besar, Seremban semalam.


Dalam pilihan raya negeri lalu, calon AMANAH, Datuk Bakri Sawir menang di Klawang.


MK Ibrahim yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri berkata, setakat ini kepimpinan Aminuddin disokong oleh Yang Dipertuan Besar dan tiada pihak yang boleh menggugat kedudukan beliau melainkan melalui undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri (DUN).


"Sekarang yang boleh jatuhkan kerajaan apabila sekumpulan ADUN yang mempunyai majoriti dapat perkenan untuk [mengemukakan] calon Menteri Besar daripada pihak lain.


"[Namun] ini belum berlaku lagi dan PH akan teruskan kerajaan demi untuk rakyat dan kelicinan [perjalanan] kerajaan. Kita fokus kepada perkhidmatan kepada rakyat," ujarnya lagi.


Terdahulu laporan media tempatan menyebut Aminuddin berkata, beliau dititahkan oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir untuk meneruskan tanggungjawab mentadbir negeri itu.


Aminuddin berkata susulan itu Kerajaan Negeri akan berfungsi seperti biasa bagi memastikan kepentingan rakyat terpelihara.


Beliau berkata pihaknya mengambil maklum pengumuman 14 wakil rakyat UMNO dan BN yang hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinannya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page