top of page

Amal tabayyun, jangan sebar maklumat tidak sahih krisis tenaga global

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 11 minutes ago
  • 2 min read

Umat Islam dinasihatkan agar mengamalkan prinsip tabayyun dengan memastikan kesahihan setiap maklumat sebelum disebarkan, khususnya berkaitan isu krisis tenaga global.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata langkah itu penting bagi mengelakkan penyebaran berita palsu serta pembentukan naratif negatif ketika negara sedang berusaha mengekalkan kestabilan ekonomi dan sosial.


"Jadi, kita mesti tabayyun dulu. Semak sebelum sebar. Jangan jadi penyumbang kepada kekeliruan," katanya menerusi satu hantaran di Facebook.


Menurut beliau, Malaysia ketika ini masih berada dalam keadaan stabil dan selesa, malah menerima pengiktirafan daripada pihak antarabangsa berhubung keupayaan negara mengurus kesan konflik di Asia Barat dengan tenang dan tersusun.


"Laporan daripada JPMorgan Chase dan Milken Institute turut menyatakan perkara yang sama," katanya.


Dalam pada itu, beliau menegaskan bekalan keperluan asas negara masih mencukupi, termasuk ayam, telur, beras, minyak masak dan tepung, selain terdapat lambakan sayur di pasaran.


"Dalam suasana dunia sedang bergelut, kita masih cukup bekalan. Sambutan perayaan juga berjalan meriah, rumah terbuka penuh dan jalan raya sesak, ini realiti kita hari ini," jelasnya.


Mengenai bekalan tenaga, beliau berkata petrol, diesel dan gas masih mencukupi manakala kerajaan terus menanggung subsidi berbilion ringgit bagi memastikan rakyat tidak terbeban.


"Kerajaan MADANI masih menanggung subsidi besar-besaran supaya kebajikan rakyat terus terpelihara," katanya.


Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa krisis tenaga global merupakan isu yang kompleks dan nyata sekali gus memerlukan pendekatan matang semua pihak.


"Walaupun telah dijelaskan, masih ada pihak yang cuba memutarbelitkan fakta, menimbulkan panik dan menyebarkan fitnah," katanya.


Dalam pada itu, beliau mengajak rakyat menggunakan tenaga secara berhemah, mengelakkan pembaziran serta mengamalkan gaya hidup sederhana selaras dengan tuntutan agama.


"Negara yang kuat bukan sahaja bergantung kepada kerajaan, tetapi juga kepada rakyat yang bijak, tenang, bersatu hati dan bertanggungjawab," katanya.


Beliau berharap rakyat memainkan peranan dalam memastikan penyebaran maklumat yang tepat serta mengurus sumber secara bijaksana demi kesejahteraan bersama.


"Saya mengajak semua (masyarakat) mengamalkan gaya hidup bersederhana dan berjimat cermat dalam penggunaan tenaga, selari dengan tuntutan Islam yang menekankan kesederhanaan serta memusuhi pembaziran.


"Akhirnya, negara kuat bukan sebab kerajaan sahaja tetapi sebab rakyatnya bijak, tenang, bersatu hati, rasional dan bertanggungjawab," ujarnya.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page