'Islam utamakan kebenaran, tulisan harga minyak Hj Hadi silap fakta' - Daie Madani
- Akmal Manaf

- Apr 9
- 2 min read

Semangat yang benar mesti dipandu oleh fakta yang tepat apabila isu harga minyak terus dimanipulasi melalui naratif yang mengelirukan dan tidak bersandarkan realiti ekonomi sebenar.
Daie Madani menerusi satu kenyataan berkata, tulisan Hj Hadi Awang dalam Minda Presiden Pas boleh dianggap mengandungi nilai-nilai sahih dan patut dihargai, antaranya seruan supaya umat Islam tidak mudah ditipu dan keperluan bersatu di bawah panji Islam.
Bagaimanapun ujarnya, Islam mewajibkan umatnya berpegang kepada fakta dan apabila hujah yang betul dibina atas fakta yang salah, hal itu melemahkan kredibiliti perjuangan itu sendiri.
Oleh itu kata Daie Madani, sebagai tanggungjawab ilmu beberapa kesilapan fakta yang serius dalam tulisan tersebut sewajarnya diperbetulkan.
"Hadi mendakwa tiada sebab harga minyak dinaikkan di Semenanjung, seolah-olah Malaysia dikecualikan daripada kesan krisis di Selat Hormuz kerana Iran membenarkan kapal Malaysia melepasinya.
"Kapal Malaysia memang boleh lalu Selat Hormuz, tetapi itu tidak mengawal harga.
"Kedua, biarpun Malaysia negara pengeluar minyak tetapi harga domestik tetap terikat kepada pasaran global kerana sebahagian besar bekalan diperoleh dari pasaran antarabangsa.
"Minyak mentah Malaysia sendiri dijual dan dibeli dalam denominasi pasaran dunia. Ini bukan kelemahan kerajaan, ini adalah realiti ekonomi global yang tidak boleh dielakkan oleh mana-mana negara, termasuk negara Islam," kata kenyataan itu.
Menurut Daie Madani, terdapat fakta paling penting dalam tulisan Hj Hadi yang 'terlepas pandang' iaitu melalui program subsidi bersasar BUDI95, rakyat Malaysia yang layak masih menikmati RON95 pada harga RM1.99 seliter.
Manakala katanya, diesel bagi pengangkutan awam dan logistik darat kekal pada RM2.15 seliter dengan beban subsidi kerajaan melebihi RM3 bilion sebulan.
"Sejak krisis Asia Barat meletus, kerajaan tidak mengapungkan sepenuhnya harga runcit di stesen minyak, malah masih menampung sebahagian kos subsidi petrol dan diesel bagi tempoh tiga minggu berturut-turut.
"Ini bermakna dalam keadaan harga global mencecah AS$112 setong pun, 90 peratus rakyat Malaysia yang layak masih membayar RM1.99 seliter sahaja.
"Diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan juga kekal pada RM2.15 seliter dan ia adalah mekanisme subsidi wilayah yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia.
"Perbezaan harga antara Semenanjung dan Sabah-Sarawak ini sudah wujud jauh sebelum krisis Selat Hormuz 2026, sebagai dasar keseimbangan wilayah di bawah semangat Perjanjian Malaysia.
"Oleh itu, menggambarkan tindakan kerajaan ini sebagai 'penipuan kepada umat Islam' adalah tidak adil kepada usaha fiskal yang berani dan bertanggungjawab," katanya.
Daie Madani menegaskan, umat Islam tidak ditipu oleh kerajaan apabila harga minyak global melonjak akibat Perang Amerika Syarikat, Israel dan Iran.
Namun apa yang lebih merisaukan, kata Daie Madani, ialah apabila mereka ditipu oleh naratif pemimpin pembangkang yang menggantikan analisis dengan emosi, dan menggantikan fakta dengan andaian.
Katanya, umat Islam layak mendapat pemimpin yang berani bercakap benar dan benar itu bermula dengan fakta.
Untuk rekod, dalam kenyataan Minda Presiden Pas kelmarin, Hj Hadi mendakwa tiada alasan untuk kerajaan menaikkan harga minyak kerana Malaysia bukan negara yang terlibat dengan sekatan Iran di Selat Hormuz.
Menurut beliau, Malaysia mempunyai telaga minyak dan gas sendiri serta masih banyak sumber lain yang boleh diselesaikan bersama dalam dunia Islam, khususnya negara jiran yang banyak sumber alamnya.




Comments