Akmal Saleh berisiko ditolak pengundi Merlimau - Penganalisis


Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berdepan risiko kehilangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau jika terus bergantung kepada politik berteraskan sentimen kaum dan agama.
Pemerhati pilihan raya, Nur Akma Suzana Ibrahim berkata, pemimpin sepatutnya tampil sebagai pendamai yang mampu menyatukan masyarakat, bukannya membiarkan perbezaan kaum dan agama menjadi garis pemisah yang menyukarkan usaha membina kepercayaan antara rakyat.
Pendekatan politik berteraskan kedua-dua sentimen tersebut jelasnya bukan budaya yang wajar dijadikan contoh kepada generasi muda yang bakal mewarisi kepemimpinan negara.
"Pemimpin sepatutnya bersikap inklusif, bukannya memperjuangkan kepentingan satu kelompok sahaja.
"Politik matang tidak menuntut pemimpin mengorbankan prinsip kaum atau agama, tetapi ia tidak sepatutnya dijadikan alat untuk meraih sokongan atau memburukkan pihak lain," katanya dipetik laporan media.
Beliau turut mengingatkan bahawa kemenangan Dr. Akmal sebelum ini bukan jaminan sokongan berterusan, memandangkan pengundi sentiasa menilai semula prestasi dan pendekatan pemimpin.
Nur Akma juga mengingatkan bahawa setiap perbezaan pandangan yang berakhir dengan pertentangan sentimen kaum dan agama berisiko membina tembok antara pemimpin dengan sebahagian masyarakat yang tidak berkongsi pandangan politiknya.
"Justeru, kemungkinan Akmal kehilangan kerusi Merlimau tidak boleh diketepikan sekiranya beliau gagal meyakinkan pengundi bahawa dirinya mampu melangkaui politik sentimen dan menawarkan kepimpinan yang inklusif," katanya.




Comments