top of page

AIM, diilhamkan Anwar buka peluang golongan miskin bina ekonomi keluarga

Writer: Sidiqin Omar
Sidiqin Omar
14 hours ago
2 min read
DS Dr Wan Azizah berucap membantu kempen Datuk Azman di DUN Paya Rumput, semalam
DS Dr Wan Azizah berucap membantu kempen Datuk Azman di DUN Paya Rumput, semalam

Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) bukan sekadar menyediakan kemudahan pembiayaan, sebaliknya membuka peluang kepada golongan berpendapatan rendah khususnya wanita dan peniaga kecil untuk membina kehidupan lebih baik serta meningkatkan ekonomi keluarga.


Usaha itu, katanya mempunyai kaitan dengan perjuangan Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak lebih empat dekad lalu apabila beliau, ketika menjadi Menteri Pendidikan, menggerakkan usaha mengkaji model pembiayaan mikro Grameen Bank dari Bangladesh sebelum AIM ditubuhkan pada 1987.


Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, idea pembiayaan mikro yang diperkenalkan Profesor Muhammad Yunus di Bangladesh membuktikan bahawa bantuan ekonomi kepada golongan miskin perlu mengambil kira realiti kehidupan mereka, bukan sekadar teori yang dipelajari di universiti.


"Dia (Profesor Yunus) kata dia ajar semua teori-teori ekonomi, tetapi ekonomi yang sebenarnya adalah di luar pagar universiti itu," katanya ketika berucap di hadapan kira-kira 500 wanita yang terdiri dari profesional dan usahawan wanita Melaka pada Majlis Hi-Tea Bersama Kak Wan di Restoran Ming Hao Banquet, semalam.


Beliau berkata, pendekatan pembiayaan mikro amat penting kerana terdapat golongan yang mempunyai kemampuan dan keinginan untuk berniaga, tetapi berdepan kesukaran mendapatkan pinjaman daripada institusi kewangan biasa akibat ketiadaan cagaran atau jaminan kewangan.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjadi Menteri Kewangan pada 1990-an turut meluluskan peruntukan RM200 juta kepada AIM bagi memperkukuh peranan institusi berkenaan.


Pengalaman istimewa bantu rakyat


Peranan AIM itu pernah diimbas Anwar ketika menghadiri Karnival Sahabat Usahawan AIM pada Julai 2023 apabila beliau menyatakan agensi berkenaan mempunyai tempat istimewa dalam perjuangannya membantu rakyat.


Wan Azizah berkata, pendekatan membantu golongan memerlukan melalui peluang ekonomi seperti itu membuktikan bahawa sokongan yang tepat mampu menjadi pemangkin kepada perubahan kehidupan sesebuah keluarga.


Mengambil contoh seorang peniaga kecil, beliau berkata individu berkenaan hanya memerlukan modal kecil untuk menjalankan perniagaan, namun tidak berpeluang mendapatkan pinjaman bank kerana tidak mempunyai aset untuk dijadikan cagaran.


"Apabila seorang itu jual bangku kecil sahaja, dia nak pinjam banyak mana sahaja? Bank tak nak bagi pinjam. Tak ada collateral, tak ada apa-apa pun nak bagi kepada bank," katanya.


Bagaimanapun, menurutnya, peluang mendapatkan pembiayaan mampu membantu golongan berkenaan mengubah kehidupan keluarga meskipun bermula dengan perniagaan berskala kecil.


"Tapi kerana bagi peluang pada kakak ini, alhamdulillah dia boleh buatkan sesuatu untuk naikkan balik prestasi hidup keluarga," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page