Ahmad Maslan perlu letak jawatan atau dipecat – Aziz Bari


Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan wajar meletak jawatan setelah melanggar prinsip tanggungjawab bersama Kabinet.
Ahli Dewan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi, Abdul Aziz Bari berkata, permohonan maaf Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno susulan pantun berunsur sindiran terhadap komponen Kerajaan Perpaduan ketika sesi perbahasan Dewan Rakyat tidak memadai untuk menyelesaikan kesalahan tindakannya.
Mantan profesor undang-undang yang dikenali luas sebagai pakar Perlembagaan Persekutuan itu juga menegaskan, isu tersebut bukan sekadar melibatkan hubungan peribadi antara Ahmad dan Perdana Menteri, sebaliknya membabitkan prinsip perlembagaan yang menjadi asas kepada sistem pemerintahan berkabinet.
"Pelanggaran itu berlaku di Parlimen dan ini adalah sesuatu yang jelas disebut dalam Perkara 43(3) Perlembagaan Persekutuan.
"Ahmad Maslan bukan sahaja gagal berperanan sebagai anggota pentadbiran, tetapi lebih dahsyat lagi menggunakan pentas itu untuk mengejek kerajaan dan menggunakan pentas itu untuk berkempen bagi pihak pembangkang.
"Beliau telah bertukar menjadi Ahli Parlimen pembangkang meskipun beliau berdiri sebagai anggota pentadbiran," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menerusi kenyataan tersebut Aziz Bari turut membangkitkan implikasi tindakan Ahli Parlimen Pontian itu terhadap institusi beraja memandangkan pembentukan Kerajaan Perpaduan itu sendiri berlaku susulan titah Yang di-Pertuan Agong.
"Ahmad Maslan wajar dikorbankan sebagai peringatan kepada Umno bahawa Kerajaan Perpaduan ditubuhkan atas titah Yang di-Pertuan Agong dan dibina berdasarkan peruntukan perlembagaan yang merupakan undang-undang tertinggi negara," tambahnya.




Comments