top of page

Agong Boleh Bertindak Tanpa Nasihat Jemaah Menteri Waktu Darurat


Oleh: Hassan Abdul Karim


Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun berkata bahawa Yang di-Pertuan Agong perlu menerima dan bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri untuk memanggil Parlimen bersidang mengikut Perkara 40(1), dan (1A) Perlembagaan Persekutuan.


Dalam keadaan biasa peruntukan undang-undang yang disebut oleh Peguam Negara itu adalah benar.


Tetapi Peguam Negara perlu juga merujuk kepada Perkara 40(3) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa undang-undang Persekutuan boleh membuat peruntukan bagi menghendaki Yang di-Pertuan Agong bertindak selepas berunding dengan atau atas syor mana-mana orang atau kumpulan orang selain Jemaah Menteri pada menjalankan mana-mana fungsinya. Kata kuncinya ialah selain Jemaah Menteri.


Ordinan Darurat menyebelahi Agong


Perkara 40(3) Perlembagaan Persekutuan ini adalah relevan dalam tempoh Darurat sekarang di mana undang-undang Persekutuan yang bernama Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 sedang berkuatkuasa.


Dalam Seksyen 2 (1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 jelas disebut,


“Maka hendaklah ditubuhkan suatu jawatankuasa khas bebas untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai kewujudan berterusan darurat besar yang mengancam keselamataan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam di dalam Persekutuan berikutan wabak penyakit berjangkit, iaitu Penyakit Koronavirus (COVID-19)”.


Jawatankuasa khas bebas tersebut di atas menepati maksud “mana-mana orang atau kumpulan orang selain Jemaah Menteri”.


Ini bermakna Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 40(3) boleh bertindak selepas berunding dengan Jawatankuasa Khas Bebas atau atas syor Jawatankuasa Khas Bebas tersebut. Hal inilah yang telah dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong apabila menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.


Pada perenggan kedua Kenyataan Media Istana Negara bertarikh 16 Jun 2021 yang dikeluarkan oleh Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara menyatakan bahawa “Setelah memperhalusi semua pandangan para pemimpin parti politik, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dan sembah taklimat para pakar dari agensi-agensi Kerajaan maka Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin”.


Agong memiliki kuasa panggil Parlimen


Jadi, apa yang dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong selaras dengan peruntukan Perkara 40(3) Perlembagaan Persekutuan iaitu baginda boleh bertindak atas nasihat atau syor selain daripada Jemaah Menteri. Dalam keadaan demikian, maknanya Perkara 40(1) dan (1A) tidak terpakai.


Kedudukan kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam memanggil Parlimen diperkuatkan lagi oleh Seksyen 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu)2021 yang menyatakan Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong.


Di bawah Seksyen 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 secara nyata dan bertulis menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh menentukan tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh baginda. Tafsiran ini membawa pengertian bahawa Yang di-Pertuan Agong yang berfikir atau menimbang, bukannya baginda perlu mendapatkan nasihat daripada Perdana Menteri. Baginda boleh mendapatkan nasihat atau syor selain dari Jemaah Menteri iaitu dari Jawatankuasa khas bebas yang ditubuhkan di bawah Seksyen 2(1) Ordinan Darurat tersebut.


Jika ada pihak yang mengatakan tafsiran seperti ini bercanggah dengan Perkara 40(1)dan(1A) Perlembagaan Persekutuan, maka saya berhujah, dengan segala hormatnya supaya sama-samalah kita merujuk Perkara 150 (6) Perlembagaan Persekutuan berkenaan Proklamasi Darurat yang menyatakan bahawa tiada peruntukan mana-mana ordinan di bawah Proklamasi Darurat yang boleh menjadi tidak sah atas alasan tidak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.


Peguam Negara terlepas pandang


Selanjutnya Peguam Negara dalam kenyataannya menyatakan bahawa di bawah Peraturan Mesyuarat 11(2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat memperuntukkan Perdana Menteri sebagai Ketua Majlis Dewan Rakyat menetapkan sekurang-kurangnya 28 hari sebelum permulaan tiap-tiap penggal, tarikh-tarikh majlis akan bermesyuarat dalam Penggal itu.


Apa yang dinyatakan oleh Peguam Negara itu benar, tetapi dengan hormat saya menyatakan Peguam Negara terlepas pandang bahawa Peraturan 11(2) itu tertakluk kepada Peraturan 11(1) yang menyatakan Persidangan Majlis yang mula-mula bagi tiap-tiap penggal hendaklah diadakan di tempat, pada hari dan waktu yang diisytiharkan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.


Selain itu saya ingin menyatakan bahawa Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat hanyalah sebuah buku peraturan atau Standing Orders sahaja. Ia bukan satu Akta Parlimen. Ia juga bukan satu undang-undang Perlembagaan. Sekiranya Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat bercanggah dengan Akta Parlimen ataupun Ordinan Darurat ataupun Perlembagaan Persekutuan, maka Peraturan Majlis Mesyuarat tersebut tidak terpakai.


Sebagai kesimpulannya, Tan Sri Idrus Harun yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai Peguam Negara atas nasihat Perdana Menteri di bawah Perkara 145(1) Perlembagaan Persekutuan memikul kewajipan di bawah Perkara 145(2) Perlembagaan Persekutuan supaya menasihati Yang di-Pertuan Agong atau Jemaah Menteri atau mana-mana Menteri mengenai apa-apa perkara undang-undang.


Dalam hubungan itu ada eloknya Peguam Negara menyedari bahawa Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa kuasa eksekutif Persekutuan terletak hak pada Yang di-Pertuan Agong. Selanjutnya dalam hal Parlimen, peruntukan Perlembagaan di bawah Perkara 44 menyatakan bahawa kuasa perundangan Persekutuan terletak hak pada Parlimen yang terdiri daripada Yang di-Pertuan Agong, Dewan Negara dan Dewan Rakyat.


Peguam Negara penasihat kerajaan Agong


Peguam Negara sesungguhnya adalah penasihat kepada kerajaan. Tetapi Kerajaan yang dimaksudkan itu ialah Kerajaan yang di-Pertuan Agong, bukannya kerajaan Perdana Menteri Mahiddin Yassin. Adalah molek dan bertanggungjawab bagi seorang Peguam Negara supaya menjalankan tanggungjawabnya berdasarkan sumpahnya semasa menerima perlantikan iaitu untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.


Saya juga yang tampil memberi hujah dan pandangan ini untuk menyangkal hujahan Peguam Negara atas kesedaran bahawa sebagai seorang Ahli Parlimen bahawa kami Ahli-ahli Parlimen telah mengangkat sumpah untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.


Sama-samalah kita, Peguam Negara dan Ahli-ahli Parlimen serta Perdana Menteri dan Jemaah Kabinet bekerjasama untuk mengelakkan berlakunya suatu krisis Perlembagaan yang melibatkan pertembungan kuasa antara badan Eksekutif dengan Pihak Istana.


Kita sedang menghadapi musuh yang sama iaitu ancaman Wabak Covid-19. Krisis Perlembagaan yang hanya akan memecahkan perpaduan dan kesatuan negara adalah sesuatu yang patut dijauhi sewaktu kita sedang menghadapi krisis wabak Covid-19 yang telah meragut ribuan nyawa rakyat kita.


________________________________________________________________________________

Penulis merupakan Ahli Parlimen Pasir Gudang

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page