top of page

Agama bukan bahan jenaka, senjata raih populariti - AMK Miri

Writer: Azuan Ab Rahman
Azuan Ab Rahman
8 hours ago
1 min read

Tindakan seorang perwakilan Umno mengeksploitasi institusi keagamaan Kristian, termasuk watak paderi dan biarawati, sebagai bahan jenaka berunsur seksual pada Perhimpunan Agung Umno 2026 baru-baru ini terus menerima kecaman.


Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Cabang Miri menyifatkan insiden tersebut sebagai amat mengecewakan, apatah berlaku secara terbuka di atas pentas rasmi sebuah parti politik nasional.


Ketua AMK Cabang Miri, Christopher Jemat Amie menegaskan bahawa perbezaan fahaman atau perseteruan politik tidak wajar dijadikan alasan untuk menghina mahupun mempermainkan kesucian agama serta kepercayaan mana-mana pihak di negara ini.


"Kalau mahu menyerang lawan politik, seranglah dasar dan prestasi mereka. Jangan gunakan agama sebagai bahan lawak semata-mata untuk meraih tepukan serta sorakan khalayak.


"Kebebasan bersuara bukannya lesen untuk mempermainkan kepercayaan orang lain. Setiap naratif dilontarkan di pentas rasmi mencerminkan imej parti serta kualiti moral pemimpin," katanya dalam satu kenyataan media.

Sementara itu beliau turut menggesa penghinaan agama atas alasan ‘sekadar gurauan’ tidak dinormalisasi dan mengingatkan ahli politik agar mengalihkan wacana kepada isu-isu yang memberi kesan langsung kepada kelangsungan hidup masyarakat.


"Kalau politik sudah sampai ke tahap sanggup menjadikan agama sebagai bahan gurauan demi sorakan, kita perlu bertanya ke mana sebenarnya hala tuju politik Malaysia yang mahu kita wariskan kepada generasi akan datang," ujarnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page