top of page

ADUN Batu Uban ziarah pesakit strok terlantar

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 day ago
  • 2 min read
Kumaresan (di sebelah pesakit) menghulurkan bantuan dan membawa bersama wakil agensi kerajaan
Kumaresan (di sebelah pesakit) menghulurkan bantuan dan membawa bersama wakil agensi kerajaan

Seorang pesakit strok terlantar di Flat Taman Utama, Minden Heights, Batu Uban, Pulau Pinang mendapat perhatian apabila agensi kerajaan berkaitan turun padang bagi menilai keperluan bantuan untuk beliau dan keluarganya.


ADUN Batu Uban, A Kumaresan berkata, beliau bersama pasukan daripada MPKK Batu Uban dan MPKK Taman Brown menziarahi Zurbani yang mengalami strok, tekanan darah tinggi dan kencing manis sehingga tidak mampu bergerak seperti biasa.


"Saya bersama pasukan saya daripada MPKK Batu Uban dan MPKK Taman Brown telah turun ke Flat Taman Utama, Minden Heights bagi menziarahi En. Zurbani, seorang pesakit strok yang kini terlantar dan memerlukan bantuan," katanya dalam hantaran di media sosial.


Lawatan itu turut disertai wakil Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Cawangan Georgetown, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta pasukan daripada kedua-dua agensi berkenaan.


Kumaresan berkata, Zurbani mempunyai seorang isteri dan lima anak yang masih bersekolah, sekali gus memerlukan sokongan menyeluruh bagi meringankan beban keluarga.


"Saya membawa agensi-agensi kerajaan berkaitan turun sendiri untuk melihat keadaan beliau dan keluarganya supaya bantuan yang sewajarnya dapat disalurkan," katanya.


Menurut beliau, PERKESO akan membantu menguruskan permohonan Pencen Ilat, selain menyediakan bantuan keperluan seperti katil pesakit, kerusi roda dan lampin pakai buang.


JKM pula telah menyalurkan bantuan segera secara sekali bayar sebanyak RM500, selain barangan keperluan asas dan bantuan menguruskan permohonan bantuan bulanan untuk keluarga terbabit.


Kumaresan berkata, keadaan keluarga itu turut memberi tekanan kewangan kerana isteri Zurbani kini bekerja sebagai pencuci dengan pendapatan kira-kira RM1,800 sebulan.


"Dengan pendapatan tersebut, beliau perlu menanggung kos rawatan suami, perbelanjaan persekolahan lima orang anak, kos sara hidup keluarga serta sewa rumah sebanyak RM750 sebulan," katanya.


Beliau berkata, pihak zakat turut memberikan bantuan kewangan kepada keluarga berkenaan.


Kumaresan berharap semua urusan bantuan untuk Zurbani dan keluarganya dapat dipermudahkan, selain memastikan bantuan diselaraskan supaya keluarga yang memerlukan tidak tercicir.


"Dalam keadaan seperti ini, bantuan bukan sahaja perlu sampai, tetapi perlu diselaraskan supaya keluarga yang benar-benar memerlukan tidak tercicir daripada menerima sokongan yang sewajarnya.


"Kami akan terus memantau dan membantu keluarga ini sehingga urusan bantuan mereka selesai," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page