ADUN Batu Uban salur bantuan RM10,000 baiki lif Jade View
- Suara Keadilan

- 5 hours ago
- 1 min read

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A Kumaresan turun padang mengadakan sesi dialog bersama penduduk Jade View bagi mendengar sendiri isu yang dihadapi komuniti setempat.
Dalam pertemuan tersebut, antara isu utama yang dibangkitkan ialah keperluan mendesak untuk kerja-kerja menaik taraf dan penyelenggaraan lif di Blok 302 yang memerlukan tindakan segera di kawasan perumahan yang mempunyai tujuh blok dengan jumlah penduduk dianggarkan seramai 2,000 orang itu.
"Pihak pengurusan juga berdepan dengan tunggakan utiliti yang besar melibatkan PBA dan TNB, yang perlu ditangani secara berperingkat," katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, Kumaresan mengumumkan sumbangan kewangan bagi membantu meringankan beban pihak terbabit dalam melaksanakan kerja penyelenggaraan.
"Setelah mengambil maklum mengenai keperluan mendesak bagi kerja-kerja penyelenggaraan lif, saya telah mengumumkan sumbangan kewangan sebanyak RM10,000," katanya.
Beliau berharap kerja pembaikan dapat dilaksanakan segera demi menjamin keselamatan, keselesaan dan kesejahteraan penduduk.
Pada masa sama, Kumaresan turut merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan Jade View atas usaha berterusan mengurus kawasan perumahan tersebut secara telus dan bertanggungjawab.
"Syabas diucapkan kepada pengerusi dan ahli jawatankuasa yang sentiasa komited dalam memastikan kebajikan dan kepentingan penduduk terus terpelihara," katanya lagi.
Tambah beliau, kerjasama erat antara penduduk, pihak pengurusan dan Pusat Khidmat KADUN Batu Uban akan terus diperkukuhkan bagi mewujudkan persekitaran kediaman yang lebih selesa, selamat dan kondusif.




Comments