top of page

ADUN Batu Uban bantu kanak-kanak perlukan pembedahan katarak

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
Jun 21
1 min read
Kumaresan mendengar rayuan ibu kepada Elzhara Sofia memohon bantuan pembedahan mata anaknya
Kumaresan mendengar rayuan ibu kepada Elzhara Sofia memohon bantuan pembedahan mata anaknya

Seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun memerlukan bantuan kewangan bagi menjalani pembedahan katarak pada mata kirinya yang perlu dilakukan segera bagi mengelakkan komplikasi lebih serius.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A Kumaresan berkata, beliau menerima kunjungan ibu bapa kanak-kanak tersebut, Elzhara Sofia, yang memohon bantuan untuk menampung kos rawatan.


Menurut beliau, kanak-kanak itu perlu menjalani prosedur pembedahan segera di sebuah pusat pakar mata swasta di George Town.


"Ibunya, Puan Syifa, memaklumkan bahawa anaknya perlu menjalani pembedahan Left Lensectomy with Monofocal Lens Implant dengan kadar segera bagi mengelakkan keadaan tersebut menjejaskan fungsi penglihatan serta perkembangan pembelajaran beliau," katanya dalam satu kenyataan.


Beliau berkata, keluarga tersebut memilih rawatan di hospital swasta berikutan tempoh menunggu yang lama di hospital kerajaan.


Kos keseluruhan pembedahan dianggarkan sebanyak RM13,000 namun keluarga berkenaan setakat ini hanya mampu menyediakan RM8,000 hasil simpanan sendiri.


"Walaupun kedua-dua ibu bapanya bekerja, mereka masih menghadapi kesukaran untuk menampung baki kos rawatan kerana perlu menyara tiga orang anak yang masih kecil," katanya.


Tambah beliau, keluarga tersebut kini menetap di rumah sewa di Flat Hamna, Sungai Dua.


Sehubungan itu, Kumaresan mengumumkan sumbangan sebanyak RM1,000 bagi membantu meringankan beban keluarga tersebut.


"Saya juga telah menulis surat kepada sebuah pertubuhan kebajikan bagi memohon pertimbangan bantuan tambahan," katanya.


Beliau berharap lebih ramai pihak tampil menghulurkan bantuan agar kanak-kanak tersebut dapat menjalani pembedahan yang diperlukan.


Beliau turut mendoakan agar urusan keluarga tersebut dipermudahkan dan pesakit diberikan kesembuhan sepenuhnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page