ADUN Batu Uban bangkit isu warga asing, dadah di mesyuarat pembangunan daerah
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 1 min read

ADUN Batu Uban, A Kumaresan kelmarin menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (JTPD) Daerah Timur Laut, sebagai platform membincangkan isu-isu setempat melibatkan pelbagai agensi kerajaan.
Menurut beliau, mesyuarat yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Timur Laut, Ismasuhaimi Shariff itu diadakan setiap bulan dan menjadi medium penting untuk menyuarakan permasalahan kawasan.
"Mesyuarat ini diadakan setiap bulan dan merupakan platform penting untuk wakil rakyat membangkitkan isu-isu berkaitan kawasan, memandangkan semua agensi Negeri dan Persekutuan turut hadir," katanya dalam muat naik di media sosial.
Beliau berkata, dalam mesyuarat bulan lalu pihaknya telah membangkitkan isu lambakan warga asing serta penyalahgunaan dadah di sekitar Flat Hamna.
"Susulan itu, satu operasi bersepadu telah dilaksanakan melibatkan pihak Imigresen, MBPP, Polis Diraja Malaysia dan Agensi Antidadah Kebangsaan," ujarnya.
Menurutnya, dalam operasi tersebut tindakan penguatkuasaan diambil terhadap individu yang melanggar undang-undang imigresen.
"Hasil operasi tersebut, seramai 21 warga asing telah ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya lagi.
Beliau menegaskan operasi seumpama itu perlu diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan penduduk setempat terus terpelihara.




Comments