top of page

Adakah Pakatan Harapan bersedia kembali memimpin?




Oleh : Chang Lih Kang


Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mendapat mandat sah daripada rakyat hanya mampu bertahan selama 22 bulan, sebelum dikhianati sekumpulan penyangak bernafsu serakah melalui “Langkah Sheraton”. Langkah tersebut jelas merupakan satu penghinaan kepada sistem demokratik negara kita.


Pengkhianat-pengkhianat yang merencanakan muslihat tersebut bukan sahaja mengkhianati parti politik mereka, tetapi juga amanah yang diberikan oleh pengundi.


Rakyat berasa sangat marah. Mereka merasakan undi mereka dalam pilihan raya umum lalu sia-sia. Jika kemenangan dalam sesebuah pilihan raya boleh diperkotak-katikkan oleh sekumpulan penyangak politik, apa perlunya lagi untuk rakyat bertungkus-lumus turun mengundi? Malah, segala reformasi kini tergendala dan tiada sesiapa yang boleh dipertanggungjawabkan kerana kerajaan sekarang tidak mendapat mandat rakyat dalam pilihan raya.


Justeru, kita harus memikul tanggungjawab untuk kembalikan kerajaan PH yang sah ke tampuk kepimpinan negara.


Namun, adakah PH bersedia untuk kembali mengemudi negara?


Seperti ramai penyokong tegar, saya juga menaruh harapan tinggi agar kerajaan PH kembali mentadbir negara. Namun sebelum itu, kita wajar merenung kembali kesilapan dan kekhilafan kita pada masa silam. Selain daripada strategi untuk menewaskan musuh, muhasabah diri yang mendalam perlu dilakukan demi memastikan kita kembali sebagai kerajaan “Pakatan Harapan 2.0” yang lebih baik.


Jangan berat sebelah buat keputusan


Semasa PH berkuasa, salah satu isu yang sering dibangkitkan adalah mekanisme membuat keputusan. Banyak keputusan penting di peringkat kerajaan atau PH dibuat secara sebelah pihak tanpa perbincangan yang mencukupi. Sebagai contoh, lantikan menteri kabinet tidak mencerminkan hasrat parti-parti komponen gabungan tersebut. Lantikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga mencetuskan perdebatan hangat di kalangan ahli-ahli PH.


Isu yang diketengahkan bukan kelayakan calon-calon tetapi proses pengambilan keputusan. Mungkin ada yang berhujah bahawa lantikan-lantikan itu adalah kuasa Perdana Menteri. Namun, perkataan kuasa tersebut merujuk kepada “punca kuasa” dalam istilah pentadbiran. Perbincangan dan muafakat adalah amalan biasa dalam politik gabungan, melainkan parti Perdana Menteri memenangi pilihan raya secara bersendirian tanpa bantuan parti-parti lain.


Selain daripada lantikan kerajaan, sesetengah keputusan penting yang memberi kesan kepada PH juga dibuat tanpa permuafakatan. Salah satunya adalah adalah pusingan-U berkaitan operasi kilang nadir bumi Lynas di Kuantan, Pahang. Ia bukan sekadar ‘satu keputusan’ semata-mata tetapi ia adalah salah satu daripada janji utama pilihan raya PH! Sebahagian besar daripada pemimpin PH berkempen kepada rakyat bertekad menutup kilang Lynas apabila diberikan mandat. Namun, keputusan untuk memungkiri janji tersebut dibuat tanpa perbincangan di kalangan ahli-ahli parlimen PH. Jika pun kerajaan terikat dengan obligasi kontrak atau sebab-sebab yang lain, kontrak tersebut harus didedahkan untuk dinilai oleh rakyat sendiri.


Mekanisme pengambilan keputusan yang berat sebelah itu telah merosakkan integriti PH. Rakyat hilang kepercayaan pada PH kerana apa jua janji yang dibuat bersama boleh dimungkiri begitu sahaja.


Jika PH kembali berkuasa dalam masa yang akan datang, satu mekanisme membuat keputusan yang jauh lebih baik daripada yang lama perlu diwujudkan.


Kelemahan komunikasi


Dalam tempoh singkat 22 bulan, penyokong-penyokong PH berdepan dengan kesukaran kerana masalah komunikasi kerajaan pusat. Kami gagal menyebarkan maklumat tentang polisi-polisi progresif yang dilaksanakan oleh kerajaan PH. Sebaliknya, kita menghabiskan masa dan sumber untuk bertarung dengan berita-berita palsu dan ucapan berbaur kebencian. Contohnya, makanan percuma untuk pelajar sekolah gagal menjadi wacana nasional tetapi warna kasut sekolah menjadi bahan jenaka. Tiada siapa bersuara tentang kejayaan penstrukturan semula Tabung Haji tetapi semua orang merungut tentang dividen terendah dalam sejarah sebanyak 1.25%.


Berulang kali kerajaan PH gagal bertindak terhadap berita-berita palsu dengan segera. Apabila berita palsu disebarkan dengan marak dalam media sosial, kerajaan langsung tidak berbuat apa-apa seolah-olah semuanya terkawal. Apabila PH mula sedar bahawa persepsi orang ramai sudah terbentuk berdasarkan maklumat yang palsu, nasi telah menjadi bubur.


Malahan, kerajaan pada masa itu juga turut terheret ke dalam kancah politik identiti. Pembangkang pada masa itu berjaya memutarbelitkan fakta pengiktirafan ICERD (International Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination) lalu mencetuskan pertembungan antara masyarakat Melayu dan bukan Melayu. Mereka berjaya menggambarkan ICERD sebagai satu ancaman kepada kedudukan orang Melayu dan Islam yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Namun, pengiktirafan ICERD sebenarnya hanya iltizam kerajaan untuk menghapuskan diskriminasi kaum, yang langsung tidak menyentuh perkara yang dibangkitkan oleh Pembangkang.


Malangnya, maklum balas kerajaan pada masa itu amat tidak memuaskan. PH gagal dalam penjelasan isu kepada rakyat, walaupun media rasmi berada dalam kawalan. Kegagalan yang sama berulang kembali dalam isu Zakir Naik dan kekecohan di Kuil Seafield.


Adakah PH telah insaf dan mengambil iktibar daripada kejadian-kejadian ini?


Kaji, laksana manifesto dengan ikhlas


Akhir sekali, PH perlu kaji semula manifesto sebelum kembali ke tampuk kuasa dengan terburu-buru. PH diberikan mandat membentuk kerajaan kerana sebahagian besar rakyat percaya dengan janji-janji reformasi dalam manifesto pilihan raya. Namun, rakyat mempunyai pengalaman yang pahit dengan kerajaan PH dalam pelaksanaan manifesto. Sebahagian kekecewaan disebabkan oleh komunikasi yang lemah; sementara sebahagian besar yang lain kerana PH memungkiri janji-janji sendiri.


Antara janji-janji yang dimungkiri termasuk Lynas, lantikan jawatan-jawatan utama yang perlu disahkan oleh Parlimen, mengehadkan tempoh Perdana Menteri kepada dua penggal dan lain-lain. Keyakinan rakyat kepada PH merosot apabila pimpinan utama memberi alasan-alasan lemah seperti “manifesto bukan kitab suci’, “kami tidak sangka akan menang apabila menyediakan manifesto”, “sukar untuk melaksanakan manifesto tanpa majoriti dua pertiga” dan sebagainya.


Maka, satu manifesto yang praktikal perlu dibentangkan semula kepada rakyat sekiranya PH berhasrat untuk membentuk semula kerajaan. Manfaatkan pengalaman selama 22 bulan sebelum ini untuk memperbaiki mana-mana kandungan yang kurang sempurna dan bentangkan kepada rakyat Malaysia dengan penuh kejujuran. Yakinkan mereka bahawa “Langkah Sheraton” telah menjadikan PH sebuah gabungan yang lebih baik. Ini adalah satu-satunya cara untuk memikat semula kepercayaan rakyat.


Jika PH merampas balik Putrajaya dengan sikap dan mekanisme yang lama, tiada siapa yang akan mendapat manfaat daripada perubahan tersebut melainkan mereka yang kembali ke pejabat menteri masing-masing.


__________________________________________________________________________________



Penulis merupakan Ahli Parlimen Tanjong Malim dan Naib Presiden KEADILAN

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page