Adab berbeza pandangan diutamakan, kritik berasaskan hujah - Saifuddin
- Sidiqin Omar

- 1 day ago
- 3 min read

Pemangku Timbalan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (gambar), menegaskan perbezaan pandangan dalam parti perlu disampaikan dengan adab, hujah dan sandaran yang jelas, bukannya didorong ego, kedegilan atau kepentingan peribadi.
Beliau berkata, perbezaan pendapat merupakan perkara yang sihat dalam sesebuah organisasi selagi setiap pihak mempunyai hujah dan bersedia menerima keputusan bersama demi mengelakkan perpecahan serta kemudaratan.
Menurutnya, perkara itu turut disentuh Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam buku Adab Berbeza Pendapat yang diberikan kepadanya.
"Yang dibenarkan adalah perbezaan pendapat. Yang tak dibenar adalah perselisihan. Biasanya dalam perbezaan pendapat, “aku ada dalil, kamu ada dalil. Kamu berhujah dengan pendapat kamu dengan dalil, aku berhujah dengan pandangan dengan dalil”.
"Yang kedua - “aku dan kamu bersetuju dalam perbezaan pendapat. Akhirnya jangan timbul kebatilan dan kemudaratan dan kemusnahan," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional KEADILAN 2026 di MITC hari ini.
Saifuddin berkata, perselisihan pendapat pula berlaku apabila perbezaan pandangan bertukar menjadi kedegilan, ego dan mengikut hawa nafsu tanpa sandaran hujah yang kukuh.
Beliau berkata, perbahasan sepanjang kongres menunjukkan budaya perbezaan pandangan dalam KEADILAN masih berada pada landasan yang baik apabila perwakilan tampil dengan teguran, kritikan, cadangan dan idea untuk membantu parti bergerak ke hadapan.
"Saya ikuti ucapan Presiden dan perbahasan perwakilan. Yang jelas, kongres ini terus subur dengan teguran, kritikan, cadangan, lontaran idea. Meriah, sangat meriah dengan pelbagai cara disampaikan supaya rakan pimpinan dapat kemudiannya menilai bagaimana nak bantu parti, olah dan gerakkan parti ke depan," katanya.
Dalam pada itu, Saifuddin mengingatkan bahawa perbezaan pandangan dalam politik tidak seharusnya diseret kepada perpecahan agama, kaum dan masyarakat.
Beliau memberi contoh bagaimana sumber agama boleh disalahgunakan untuk memberikan konotasi agama terhadap perbezaan politik, sehingga pihak yang berbeza pilihan politik dilabel sebagai golongan yang zalim atau menentang agama.
Katanya, pendekatan sedemikian berbahaya kerana politik identiti boleh membelah masyarakat dan menjadikan perbezaan pilihan politik sebagai permusuhan antara kelompok.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan KEADILAN terus menumpukan politik berasaskan prestasi kerajaan, kebajikan rakyat dan tadbir urus yang baik, bukannya terperangkap dalam gelanggang politik identiti.
Saifuddin turut mengingatkan bahawa kerajaan perpaduan memerlukan kebijaksanaan dalam mengurus perbezaan kerana KEADILAN sendiri hanya mempunyai sekitar 30 Ahli Parlimen daripada keseluruhan sokongan yang membentuk kerajaan.
"Untuk menguruskan sebuah kerajaan gabungan macam ini, bukan pandangan atau dasar atau rancangan daripada parti 30 wakil ini saja yang nak kita laksana kepada jemaah menteri. Tak boleh begitu.
"Kerajaan ini tak boleh berfungsi cara itu. Kerana itu dia kena ada seni dan kebijaksanaan dalam menguruskan perbezaan," katanya.
Beliau pada masa sama menyatakan sokongan supaya Anwar menyelesaikan penggal sebagai Perdana Menteri dan diberi peluang memimpin untuk penggal seterusnya.
Katanya, sokongan itu perlu disertai hujah berdasarkan prestasi kerajaan termasuk kestabilan politik, pertumbuhan ekonomi, kawalan inflasi, kebajikan rakyat serta usaha memperkukuh tadbir urus dan membanteras rasuah.
Saifuddin turut menyeru seluruh anggota parti memperkukuh budaya bekerja sebagai satu pasukan serta mengelakkan sikap terlalu mengagumi kemampuan diri sehingga memandang rendah sumbangan pimpinan lain.
"Masalah dalam kepimpinan dan parti selalunya timbul kalau kita terlalu kagum dengan kebolehan diri kita sendiri.
"Kekaguman yang berlebihan terhadap keupayaan kita menyebabkan timbul sikap tidak menghargai sumbangan rakan-rakan pimpinan yang lain," katanya.
Beliau berkata, setiap keputusan yang dibuat melalui forum parti perlu dihormati selepas diputuskan secara bersama, dengan semua pihak bergerak ke hadapan sebagai satu pasukan.
"Kalau itu sudah satu keputusan bersama dan ini adalah kongres parti, platform pembuat keputusan tertinggi dalam parti, dalam itulah perkara yang kita sepakati. That's move on, go along, sama-sama berat sama dipikul, ringan sama dijinjing," katanya.
Dalam pada itu Saifuddin yang juga Naib Presiden KEADILAN turut membangkitkan beberapa tumpuan yang perlu dilaksanakan anggota parti selepas kongres.
Fokus politik prestasi, jangan bertarung dalam politik identiti. Nilai kerajaan Pakatan Harapan dengan prestasi ekonomi, prestasi kebajikan rakyat dan prestasi pentadbiran.
Besarkan kek ekonomi. Biarpun berlaku skandal, Tabung Haji rugi, Felda rugi ekonomi tumbuh, sembuh.
Melayu terancam dengan dadah, ancaman paling tinggi.
Perhebatkan bantuan kepada rakyat berasaskan keperluan bela Melayu melalui agenda ekonomi Malaysia
Rasuah itu khianat bangsa dan negara. Teruskan gempur perbuatan rasuah.
Cerita kepada rakyat success story, kepada anak muda.




Comments