Abun Sui Anyit dilantik Ketua Penerangan MPN KEADILAN Sarawak


Senator Abun Sui Anyit (gambar) dilantik sebagai Ketua Penerangan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Sarawak, berkuat kuasa 30 September 2026.
Abun Sui berkata, pelantikan itu diterimanya sebagai satu amanah dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan sebaik mungkin demi kepentingan parti serta rakyat Sarawak.
Beliau merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Pengerusi KEADILAN Sarawak, Dr Ahmad Nazib Johari atas kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk menggalas tanggungjawab berkenaan.
"Saya menerima pelantikan ini sebagai satu amanah dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dengan sebaik-baiknya demi kepentingan parti dan rakyat Sarawak," katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, sebagai Ketua Penerangan MPN Sarawak, beliau akan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh penyampaian maklumat rasmi parti, komunikasi organisasi serta penyelarasan penerangan di seluruh negeri.
Katanya, pengalaman yang dimiliki akan digunakan sebaik mungkin dalam melaksanakan amanah itu dengan penuh tanggungjawab, integriti dan komitmen.
"Saya juga akan berusaha memastikan penerangan parti disampaikan secara jelas, tersusun, berfakta dan bertanggungjawab, di samping mengambil kira suara, pandangan dan keperluan rakyat di seluruh Sarawak," katanya yang juga Ketua Cabang Hulu Rajang.
Abun Sui Anyit berkata, tugas penerangan bukan sekadar menyampaikan maklumat, sebaliknya memainkan peranan penting bagi memastikan dasar, perjuangan dan pendirian parti difahami dengan baik oleh anggota parti serta masyarakat.
Dalam melaksanakan tanggungjawab itu, beliau berkata akan bekerjasama rapat dengan kepimpinan MPN, ketua-ketua cabang, pimpinan akar umbi serta seluruh jentera KEADILAN Sarawak.
"Saya percaya tugas penerangan bukan sekadar menyampaikan maklumat, tetapi juga memainkan peranan penting dalam memastikan dasar, perjuangan dan pendirian parti dapat difahami dengan baik oleh anggota parti serta masyarakat," katanya.
Beliau sekali lagi merakamkan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan dan beriltizam melaksanakan amanah berkenaan dengan penuh dedikasi serta komitmen.




Comments