Pesta Tanglung Batu Uban semarakkan semangat kebersamaan masyarakat


Pesta Tanglung KADUN Batu Uban berlangsung meriah dengan penglibatan warga emas, masyarakat setempat dan pelajar daripada empat sekolah dalam suasana penuh keceriaan serta semangat kebersamaan.
ADUN Batu Uban, A Kumaresan berkata, sambutan yang diadakan di Silver Jubilee Home itu bukan sahaja meraikan tradisi dan kebudayaan, malah menjadi ruang mengeratkan hubungan dalam kalangan masyarakat setempat.
"Amat menggembirakan dapat meraikan sambutan ini bersama warga emas serta masyarakat setempat," katanya dalam kenyataan.
Menurutnya yang juga ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, antara acara yang menarik perhatian pada sambutan itu ialah persembahan pelajar daripada SMJKC Phor Tay, SJKC Keong Hoe, SJKC Kwang Hwa dan SJKC Min Sin.

Sambutan kemudiannya diteruskan dengan perarakan tanglung di sekitar Taman Lip Sin, sekali gus memeriahkan suasana perayaan bersama penduduk setempat.
Kumaresan turut merakamkan penghargaan kepada pengerusi penganjur, Encik Cheah, MPKK Lip Sin, Jawatankuasa Belia N35 Batu Uban, Pulau Pinang, JPWK Batu Uban N35, Silver Jubilee Home serta semua sukarelawan yang membantu menjayakan program berkenaan.
"Terima kasih kepada semua yang hadir bersama-sama memeriahkan acara ini. Semoga semangat Pesta Tanglung terus membawa kegembiraan serta mengeratkan hubungan dalam kalangan masyarakat kita," katanya.




Comments