ABIM kecam pelan penjajahan penuh Israel ke atas Gaza
- Suara Keadilan
- 1 day ago
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengecam pelan penjajahan penuh Gaza oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
Presiden ABIM Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, rancangan lima prinsip penjajahan penuh itu bercanggah dengan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Konvensyen Geneva dan resolusi Majlis Keselamatan PBB yang mengiktiraf hak rakyat Palestin untuk menentukan masa depan mereka sendiri.
"Pemindahan paksa sejuta penduduk Gaza merupakan satu bentuk pembersihan etnik yang mengulangi Tragedi Nakba 1948. Lebih membimbangkan, rancangan ini diumumkan ketika Netanyahu sedang berdepan perbicaraan kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
"ABIM melihat tindakan ini sebagai helah untuk mengalihkan perhatian rakyat Israel daripada krisis politik dan undang-undang yang sedang dihadapinya, sambil berusaha mengukuhkan kedudukannya melalui agenda ketenteraan yang melampau," katanya dalam satu kenyataan.
Lima prinsip yang diumumkan Netanyahu merangkumi usaha menghapuskan kekuatan ketenteraan Hamas, memulangkan semua tebusan, melumpuhkan sepenuhnya keupayaan pertahanan Gaza, mengekalkan kawalan keselamatan penuh Israel ke atas wilayah tersebut dan menubuhkan pentadbiran sivil baharu yang menyingkirkan Hamas serta Pihak Berkuasa Palestin.
Sementara itu, Ahmad Fahmi dalam kenyataannya menggesa Kerajaan Malaysia untuk kekal konsisten menolak sebarang bentuk pengiktirafan terhadap Israel.
Kerajaan juga diseru meningkatkan tekanan diplomatik melalui Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), ASEAN dan blok Selatan Global serta mendesak tindakan segera di Majlis Keselamatan PBB dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa.
"ABIM berdiri teguh bersama rakyat Palestin dan menegaskan bahawa keamanan sejati hanya akan dapat dicapai apabila penjajahan ditamatkan, hak rakyat Palestin dikembalikan dan keadilan ditegakkan tanpa sebarang kompromi.
"Masyarakat antarabangsa juga diseru untuk mengenakan sekatan ekonomi, politik dan ketenteraan terhadap Israel, serta mengajak masyarakat sivil di seluruh dunia menggandakan kempen solidariti termasuk boikot, pelaburan dan sekatan (BDS) sebagai tekanan berterusan terhadap rejim Zionis," tambah kenyataan tersebut.