Abang Minyak Hitam Jalanan, Dicky diiktiraf Sahabat Perpaduan MADANI
- Azuan Ab Rahman

- 2 hours ago
- 1 min read

Sikap ikhlas ditonjolkan individu dikenali sebagai 'Abang Minyak Hitam Jalanan' dan Dicky mendapat perhatian Kementerian Perpaduan Negara apabila mereka berdua menerima pengiktirafan khas Sahabat Perpaduan MADANI.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Yuneswaran Ramaraj berkata, kisah tular melibatkan Mohd Yusof Mohd Noor membantu Dicky selepas motosikalnya rosak membuktikan nilai perpaduan sebenar hidup melalui tindakan kecil yang lahir daripada keikhlasan.
Kisah tersebut jelasnya telah mencerminkan semangat kemanusiaan merentasi batas kaum, agama dan status sosial.
"Apa yang ditunjukkan oleh Yusof dan Dicky adalah cerminan Malaysia yang kita cintai, sebuah negara yang dibina atas nilai hormat, belas ihsan dan kebersamaan.
"Yusof membantu dengan ikhlas, manakala Dicky pula menjadi sebahagian daripada kisah yang membuka mata ramai pihak bahawa kebaikan masih subur dalam masyarakat kita.
"Mereka wajar diangkat sebagai contoh bahawa perpaduan bermula daripada tindakan manusiawi yang mudah tetapi besar maknanya," katanya ketika menyantuni Yusuf dan Dicky dalam satu majlis di Putrajaya semalam.
Pengiktirafan Sahabat Perpaduan MADANI diberikan sebagai tanda penghargaan kepada individu biasa yang melakukan perkara luar biasa demi masyarakat.
Yuneswaran sementara itu berharap, kisah kedua-dua individu itu dapat menjadi inspirasi kepada rakyat untuk terus menyemai budaya saling membantu serta memelihara keharmonian masyarakat majmuk.
Dalam kerangka Malaysia Madani jelasnya, setiap perbuatan baik yang menyatukan masyarakat perlu diraikan dan dijadikan teladan agar nilai perpaduan terus hidup dalam kehidupan seharian.




Comments