700,000 pemilik kenderaan diesel nikmati BUDI MADANI Diesel hari ini
- Akmal Manaf

- 5 hours ago
- 2 min read

Sebanyak kira-kira 700,000 pemilik kenderaan diesel persendirian di Malaysia menikmati penjimatan ketara apabila pelaksanaan BUDI MADANI Diesel bermula hari ini yang membolehkan mereka membeli diesel pada harga subsidi RM2.10 seliter berbanding harga pasaran RM3.97 seliter.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan memaklumkan, pelaksanaan tersebut merupakan peluasan ketara berbanding BUDI Diesel Individu sebelum ini yang hanya melibatkan kira-kira 180,000 penerima bantuan tunai bulanan di Semenanjung Malaysia bagi membantu menampung sebahagian kos pembelian diesel pada harga pasaran.
"Selain itu, kira-kira 70,000 kenderaan komersial dan pengangkutan barangan di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan kini layak membeli diesel bersubsidi pada harga RM2.15 seliter di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
"Kerajaan MADANI juga akan memperluas liputan kepada kenderaan persendirian jenis pikap dan jip yang berdaftar atas nama syarikat, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.
"Subsidi bahan api memastikan rakyat yang layak tidak perlu membayar harga pasaran penuh. Langkah ini membantu mengurangkan tekanan kos hidup, melindungi sektor penting yang bergantung kepada bahan api, dan menyokong pertumbuhan negara," kata MOF.
Menurut kementerian yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim itu, mekanisme pemindahan kelayakan BUDI Diesel bagi kenderaan yang digunakan oleh ahli keluarga terdekat berbeza daripada pemilik berdaftar turut disediakan.
Melalui mekanisme itu, MOF menjelaskan penerima asal BUDI Diesel boleh memindahkan fungsi membeli diesel bersubsidi kepada seorang ahli keluarga terdekat, iaitu pasangan, ibu atau bapa, anak atau adik-beradik, tertakluk kepada syarat dan pengesahan yang ditetapkan.
"Setakat jam 9 pagi, 30 Jun 2026, hampir 1,000 permohonan pemindahan kelayakan BUDI Diesel telah diterima melalui MOF. Pemindahan ini hanya dibenarkan sekali dan kepada seorang penerima sahaja.
"Selepas diluluskan, penerima boleh menggunakan MyKad sendiri untuk membeli diesel bersubsidi berdasarkan kelayakan BUDI Diesel pemilik asal.
"Pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak juga boleh memohon tambahan 100 liter sebulan melalui portal rasmi BUDI MADANI, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan," kata kementerian itu lagi.




Comments