70 peratus projek tebatan banjir kadar segera di Selangor disiapkan


Kerajaan Selangor komited memastikan pelaksanaan Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) kadar segera di negeri itu selesai secapat mungkin bagi mengatasi kejadian banjir kilat.
Exco Infrastruktur Selangor, Datuk Ir Izham Hashim berkata setakat ini sebanyak 70 peratus daripada keseluruhan 255 projek RTB telah siap dibina membabitkan peruntukan hampir RM70 juta di kawasan berisiko banjir kilat terutama sekitar Klang dan Ampang Jaya.
"Projek dilaksanakan sejak tahun lalu menerusi kerjasama rapat antara Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi memastikan kawasan berisiko ditangani dengan berkesan.
"Baki 30 peratus lagi masih dalam peringkat pembinaan dan dijangka siap sepenuhnya menjelang hujung tahun ini," katanya dipetik laporan media.
Izham ditemui selepas mengadakan tinjauan ke RTB di Taman Melawis dan Taman Mutiara di sini yang masing-masing melibatkan peruntukan RM18 juta dan RM8 juta.
Menurutnya, kedua-dua projek menunjukkan keberkesanan apabila tiada lagi kejadian banjir dilaporkan di kawasan berkenaan termasuk di Shah Alam, Padang Jawa dan Meru.
Pada April lalu, Izham memaklumkan Kerajaan Negeri memperuntukkan RM5.74 bilion bagi pelaksanaan 134 projek tebatan banjir di Selangor antara 2021 hingga 2030.
Daripada jumlah itu, RM2.11 bilion disumbangkan Kerajaan Negeri bagi 108 projek, manakala RM3.63 bilion lagi daripada Kerajaan Persekutuan untuk 26 projek.




Comments