70 banngunan pentadbiran Selangor guna solar, terapkan teknologi hijau


Langkah Kerajaan Selangor melengkapkan 70 bangunan pentadbiran negeri dengan panel solar berkapasiti keseluruhan 5.69 megawatt (MW) membuktikan agenda tenaga hijau boleh diterjemahkan kepada tindakan nyata, bukan sekadar slogan, kata Fairul al-Qasas.
Seorang pengamat politik pro Pakatan Harapan, Fairul al Qasas berkata, pemasangan panel solar berkapasiti keseluruhan 5.69 megawatt (MW) di Selangor bukan sekadar langkah mengurangkan kebergantungan kepada sumber tenaga konvensional, sebaliknya mencerminkan usaha kerajaan Pakatan Harapan memimpin perubahan ke arah penggunaan tenaga yang lebih lestari dan sesuai dengan teknologi hijau yang mengurangkan pencemaran akibat penjanaan elektrik menggunakan bahan api fosil.
"Pada saya, ini bukan sekadar cerita tentang panel solar di atas bumbung. Ini tentang bagaimana kerajaan mahu memimpin perubahan, dan Kerajaan Selangor pimpinan Pakatan Harapan (PH) menunjukkan caranya.
"Kalau kerajaan mahu rakyat memasang solar, mengurangkan penggunaan tenaga dan mengamalkan gaya hidup lebih lestari, kerajaan sendiri mesti terlebih dahulu menunjukkan contoh," katanya dalam muat naik di media sosial.
Fairul menyifatkan, langkah yang diambil oleh Kerajaan Selangor itu sesuatu yang menarik kerana ia tidak berhenti pada pemasangan panel solar semata-mata.
Sebaliknya ujar beliau terdapat usaha memperluas projek tenaga hijau melalui Government Green Energy (GGE) yang dibangunkan menerusi kerjasama antara TNB Renewables Sdn. Bhd (TRE) dan Worldwide Holdings Berhad (WHB).
"Kerajaan Selangor juga memberi insentif kepada rakyat melalui rebat cukai taksiran sehingga 100% bagi pemasangan solar dan beberapa inisiatif hijau yang lain.
"Ini adalah antara insentif yang mampu negeri berikan selain dari rebat oleh Kerajaan Persekutuan.
"Saya juga melihat, langkah Kerajaan Selangor ini sangat bijak apabila mengajak rakyat dan jabatan kerajaan untuk menuai tenaga dari solar, dengan itu keterjaminan tenaga untuk industri terus tersedia, sesuai dengan Selangor sebagai negeri industri utama di Malaysia," katanya lagi.
Terdahulu, sebanyak 70 bangunan di bawah pentadbiran kerajaan Selangor diarahkan memasang panel solar sebagai sebahagian usaha memperluaskan penggunaan tenaga boleh baharu serta menggalakkan amalan hijau dalam sektor awam.
Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin berkata, Kerajaan Negeri mahu bangunan milik kerajaan menjadi contoh terlebih dahulu sebelum menggalakkan lebih banyak pihak swasta dan industri melaksanakan inisiatif sama.
Menurutnya, pemasangan panel solar itu turut diperluaskan ke Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) dengan hanya beberapa bangunan belum melaksanakannya berikutan isu teknikal.




Comments