60 peratus manifesto Kerajaan Perpaduan P Pinang telah dilaksana - Ketua Menteri
- Suara Keadilan

- May 20
- 2 min read

Kerajaan perpaduan Pulau Pinang sudah melaksanakan 60 peratus janji dibawah Manifesto Kerajaan Perpaduan 2023 (MyPenang Manifesto).
Ketua Menteri Chow Kon Yeow (gambar) memaklumkan, antara yang sudah dilaksanakan termasuk projek mega seperti LRT Laluan Mutiara dan kereta kabel Bukit Bendera selain projek tebatan banjir di kawasan hotspot banjir yang dikenal pasti di negeri itu dengan peruntukan RM100 juta.
Bagi sektor kebajikan awam, 10 pusat aktiviti warga emas (PAWE) telah diwujudkan di seluruh negeri merangkumi semua lima daerah. Selain itu dua akademi e-sukan dibuka di Timur Laut dan Seberang Perai Utara dan usaha menubihkan akademi serupa di daerah lain juga sedang giat dilaksanakan.
"Sebanyak 17 lagi atau 34 peratus sedang dalam pelaksanaan, manakala hanya tiga atau enam peratus belum dimulakan setakat 30 April lalu," katanya dipetik pada sidang media di pejabatnya di Komtar, di Georgetown semalam.
Menurut Chow antara manifesto yang sedang dalam pelaksanaan termasuk memudah cara projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang yang akan membolehkan lapangan terbang itu menampung 12 juta penumpang setahun, serta projek berterusan membina 220,000 unit rumah mampu milik di seluruh negeri menjelang 2030.
"Fokus semasa kerajaan negeri adalah untuk memulakan pelaksanaan bagi baki tiga lagi janji manifesto dan memastikan 17 janji yang sedang berjalan disiapkan mengikut jadual.
"Tiga janji yang masih belum dilaksanakan ialah penubuhan dana pembangunan sosial negeri daripada caj penjagaan kesihatan yang dikenakan ke atas warga asing, skim perumahan khas untuk golongan bujang dan belia, serta pembinaan sekolah Tamil ke-29 di Pulau Pinang.
"Kami komited memberikan laporan telus kepada rakyat kerana akauntabiliti adalah asas tadbir urus Pulau Pinang," tambahnya.
Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang sementara itu mamaklumkan pihaknya kini berada pada tahap kesiapsiagaan kira-kira 75 peratus bagi menghadapi kemungkinan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) diadakan lebih awal.
Kerjasama antara PH dan Barisan Nasional (BN) di Pulau Pinang bagi menghadapi pilihan raya akan datang tegasnya kekal terbuka dan tertakluk kepada keputusan kepimpinan di peringkat nasional.




Comments