410 Ketua Isi Rumah Selangor terima bantuan tunai RM500 sempena Aidilfitri
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 1 min read

Seramai 410 Ketua Isi Rumah (KIR) miskin di Selangor yang berdaftar dalam sistem e-Kasih menerima sumbangan tunai sebanyak RM500 bersempena Aidilfitri.
Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad berkata bantuan julung kali itu dilaksana bagi membantu golongan berpendapatan rendah di negeri itu membuat persiapan hari raya dengan lebih baik.
"Kemakmuran sesebuah negeri bukan hanya diukur melalui pembangunan fizikal semata-mata, tetapi juga melalui sejauh mana kebajikan rakyat yang memerlukan diberi perhatian.
"Bantuan ini mungkin tidak menyelesaikan semua masalah, namun sekurang-kurangnya dapat membantu mereka membuat persiapan Aidilfitri dengan lebih tenang," katanya dipetik.
Beliau ditemui pemberita pada Program Sejahtera MADANI Kebajikan: Ikatan Kasih Ramadan 1447H anjuran Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, Bangunan Pentadbiran Kerajaan Negeri di Shah Alam pada Rabu.
Sementara itu tambahnya, Kerajaan Persekutuan dan negeri terus memperkukuh pelbagai inisiatif bagi membantu meningkatkan taraf ekonomi rakyat.
Langkah itu jelasnya selaras dengan prinsip Malaysia MADANI yang menekankan nilai ihsan dan kesejahteraan masyarakat.
"Usaha berterusan ini turut membuahkan hasil apabila Selangor berjaya menoktahkan kemiskinan tegar pada 20 Februari lalu, selepas 5,058 ketua isi rumah dikeluarkan daripada senarai sistem e-Kasih yang direkodkan pada 1 Januari.
"Namun usaha itu tidak terhenti di situ apabila kerajaan negeri kini memberi tumpuan kepada usaha membantu Ketua Isi Rumah dalam kategori miskin pula agar kehidupan mereka terus diperkasa," tambahnya.
Dalam majlis sama, turut disalurkan sumbangan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) Prime berjumlah RM100,000 kepada anak-anak penerima yang sedang menuntut di sekolah menengah.
Sokongan awal tersebut diharap mampu melahirkan generasi berilmu dan berkemahiran yang seterusnya dapat menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara.




Comments