400 pelajar IPT sertai Jelajah Belia Rukun Negara Johor 2026


Seramai 400 pelajar daripada 17 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Johor menyertai Program Jelajah Belia Rukun Negara (JBRN) Peringkat Negeri Johor 2026 bagi menyemai semangat perpaduan dan penghayatan prinsip Rukun Negara dalam kalangan generasi muda.
Program itu dirasmikan penutupnya oleh Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Yuneswaran Ramaraj, yang menyaksikan penyertaan pelajar pelbagai kaum dalam usaha memperkukuh hubungan antara kaum serta membina rasa tanggungjawab bersama terhadap negara.
Menurut Yuneswaran, JBRN bukan sekadar program biasa, sebaliknya menjadi ruang untuk golongan muda mengenali, menghayati dan mengamalkan Rukun Negara melalui pendekatan lebih interaktif serta dekat dengan kehidupan mereka.
"JBRN bukan sekadar program, tetapi ruang untuk anak muda mengenali, menghayati dan mengamalkan Rukun Negara melalui pengalaman yang lebih interaktif dan dekat dengan kehidupan mereka," katanya dalam muat naik di media sosial.
Beliau berkata, penghayatan terhadap cita-cita dan prinsip Rukun Negara penting dalam memupuk nilai hormat-menghormati, kebersamaan serta semangat tanggungjawab sebagai satu bangsa.
Katanya, golongan belia mempunyai peranan besar dalam menentukan masa depan negara, justeru usaha membina perpaduan perlu diperkukuh sejak di bangku pengajian.
"Belia hari ini ialah pemimpin masa depan. Belia bersatu, perpaduan semakin kukuh. Rukun Negara kita hayati, perpaduan kita teguhkan," katanya.
Yuneswaran turut menggesa anak muda di Johor supaya terus memainkan peranan sebagai agen perpaduan dengan membina jati diri, memperluas wawasan dan mengamalkan sikap saling menghormati dalam masyarakat majmuk.
Beliau berharap program seumpama itu dapat melahirkan generasi muda yang bukan sahaja memahami prinsip Rukun Negara, malah menjadikannya sebagai panduan dalam kehidupan seharian demi membina Malaysia yang lebih harmoni.




Comments