top of page

400 ambulans baharu tingkatkan keupayaan kecemasan KKM

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
57 minutes ago
1 min read

Perolehan 400 ambulans baharu untuk hospital di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) seperti yang diumum dalam Belanjawan 2027 diyakini dapat meningkatkan keupayaan respons kecemasan.


Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (gambar) berkata, kadar respons ambulans bagi kes kecemasan kritikal kategori keutamaan satu (Priority 1) di seluruh negara mencatat 34.01 peratus pada 2025, masih di bawah sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) sebanyak 50 peratus bagi ketibaan dalam tempoh kurang 15 minit


Justeru perolehan aset baharu itu penting bagi memperkukuh perkhidmatan ambulans, terutama dalam menangani kes kecemasan kritikal yang mengancam nyawa.


"Saya mahu tegaskan KKM juga sedang memperkukuh pengoperasian MERS 999 (Sistem Respons Kecemasan Malaysia 999), selain memantau prestasi pemindahan pesakit menerusi indikator khusus seperti masa pengaktifan ambulans," katanya dipetik di Dewan Rakyat semalam.


Menjawab soalan tambahan mengenai akses kepada perkhidmatan pakar di kawasan luar bandar serta jurang perkhidmatan kesihatan antara bandar dengan luar bandar, beliau berkata KKM melaksanakan beberapa pendekatan.


Ia termasuk konsep hospital kluster yang membolehkan perkongsian sumber, kepakaran dan peralatan antara hospital.


"Terdapat 43 hospital kluster di seluruh negara bagi membolehkan hospital utama membantu hospital yang tidak mempunyai perkhidmatan pakar, sekali gus memperluas akses kepada rawatan dan kepakaran perubatan.


"KKM turut memperluas perkhidmatan klinikal tertentu ke klinik kesihatan dan hospital tanpa pakar di luar bandar, khususnya bagi pengurusan penyakit kronik, saringan awal serta kesinambungan rawatan pesakit," jelasnya.


Menurut Dr Dzulkefly, kementeriannya turut mempertingkat akses kepada pembedahan di kawasan luar bandar menerusi inisiatif pembedahan global bagi membolehkan pakar melawat hospital tanpa pakar untuk melaksanakan prosedur seperti pembedahan katarak dan hernia.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page