top of page

Dr Wan Azizah mahu program kebajikan veteran ATM ditambah baik

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
2 hours ago
1 min read
DS Wan Azizah menyampaikan mokap cek di Majlis Peluncuran Kempen Tabung Pahlawan 2026/2027 di Wisma Perwira, di Kuala Lumpur, semalam
DS Wan Azizah menyampaikan mokap cek di Majlis Peluncuran Kempen Tabung Pahlawan 2026/2027 di Wisma Perwira, di Kuala Lumpur, semalam

Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyeru agar program kebajikan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus dipantau dan ditambah baik mengikut keperluan semasa.


Beliau yang juga Penaung Kempen Tabung Pahlawan (KTP) berkata, usaha itu bagi memastikan supaya manfaat yang disediakan benar-benar sampai kepada veteran serta keluarga mereka.


Tambahnya, Malaysia mempunyai sistem pengurusan kebajikan veteran yang baik menerusi Kementerian Pertahanan dan Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM), dengan kerjasama sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pelbagai agensi.


Bagaimanapun, ia sentiasa perlu dinilai dan disesuaikan dengan perubahan keperluan golongan veteran.


"Saya amat berharap agar inisiatif yang dilaksanakan sentiasa dipantau dan yang paling penting, sentiasa ditambahbaik mengikut keperluan semasa supaya manfaatnya benar-benar sampai kepada setiap veteran dan keluarga mereka," katanya dipetik laporan media.


Dr Wan Azizah sebelumnya hadir ke Majlis Peluncuran Kempen Tabung Pahlawan 2026/2027 di Wisma Perwira, di Kuala Lumpur pada Isnin.


Sementara itu, beliau turut menggalakkan penggunaan teknologi dan kerjasama strategik bagi menambah baik pengurusan kebajikan veteran, termasuk mengambil contoh amalan terbaik dari dalam dan luar negara.


Beliau turut menyambut baik beberapa langkah bagi meningkatkan kebajikan dan kesejahteraan veteran ATM menerusi Belanjawan 2027 yang dibentang Jumaat lalu.


Terdahulu dalam ucapannya, Dr Wan Azizah turut menyeru orang ramai menyumbang sekurang-kurangnya RM1 kepada Kempen Tabung Pahlawan 2026/2027 bertemakan '1 Rakyat 1 Ringgit, Demi Pahlawanku'.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page