top of page

Belanjawan 2027: Pelaksanaan mesti buktikan manfaat kepada rakyat — Aiman Athirah

Writer: Noraini Nordin
Noraini Nordin
58 minutes ago
2 min read
Ketua Wanita Pakatan Harapan, Aiman Athirah Al Jundi
Ketua Wanita Pakatan Harapan, Aiman Athirah Al Jundi

Kejayaan Belanjawan 2027 perlu diukur berdasarkan keberkesanan pelaksanaan dan manfaat yang benar-benar sampai kepada rakyat, kata Ketua Wanita Pakatan Harapan, Aiman Athirah Al Jundi.


Beliau yang juga Ketua Wanita AMANAH berkata, setiap peruntukan dan dasar yang diumumkan mesti diterjemahkan kepada tindakan serta pencapaian yang boleh diukur.


"Sebesar mana pun peruntukan, sebaik mana pun perancangan dan seindah mana pun hasrat yang diumumkan, semuanya hanya akan memperoleh makna apabila sampai kepada rakyat dalam bentuk manfaat yang nyata.


"Peruntukan mesti diterjemahkan menjadi tindakan; dasar mesti menghasilkan perubahan; dan setiap janji mesti dipertanggungjawabkan melalui pencapaian yang boleh diukur," katanya dalam kenyataan mengenai Belanjawan 2027.


Menurut Aiman Athirah, secara keseluruhannya belanjawan itu membanggakan dan memperlihatkan kesungguhan Kerajaan MADANI untuk menyantuni pelbagai lapisan masyarakat, mengimbangi kesejahteraan rakyat dengan disiplin fiskal serta merencana pembangunan negara secara berhemat.


Beliau berkata, belanjawan tersebut turut mencerminkan usaha kerajaan memperbaiki kehidupan rakyat, memperkukuh daya tahan ekonomi dan memperluas peluang kepada masyarakat.


Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa persoalan utama selepas pembentangan ialah sejauh mana peruntukan dilaksanakan dan berapa ramai penerima akhirnya merasai perubahan dalam kehidupan mereka.


Sehubungan itu, katanya, kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu memastikan setiap kementerian, agensi dan pelaksana mempunyai matlamat yang jelas, penyelarasan berkesan serta garis masa yang munasabah.


Mekanisme pemantauan dan penilaian yang telus juga diperlukan bagi memastikan ketirisan, kelewatan serta karenah birokrasi tidak menghakis manfaat yang sepatutnya diterima rakyat.


"Ikrar kerajaan tidak boleh terhenti pada pengumuman peruntukan. Ia mesti diteruskan dengan kesungguhan melaksanakan, keberanian membetulkan kelemahan dan kesediaan mempertanggungjawabkan hasilnya kepada rakyat," katanya.


Mengulas penutup pembentangan belanjawan itu, Aiman Athirah menyifatkan kiasan Ithaca dalam The Odyssey karya Homer serta gagasan Waad Nasional sebagai peringatan tentang arah pembangunan dan tanggungjawab terhadap generasi akan datang.


Menurut beliau, pembangunan negara perlu mengambil kira kesan keputusan hari ini terhadap masa depan anak-anak, termasuk memastikan kemajuan semasa tidak meninggalkan beban yang tidak adil kepada mereka.


Beliau berkata, kekuatan Belanjawan 2027 terletak pada kesepaduan antara keberanian menetapkan ikhtiar, kebijaksanaan mengurus sumber dan ketegasan memastikan pelaksanaan.


"Wanita menyambut baik Belanjawan 2027 dengan rasa bangga dan harapan. Namun, harapan itu hadir bersama tuntutan yang jelas: laksanakanlah dengan bersungguh-sungguh, uruslah dengan amanah dan pastikan manfaatnya benar-benar sampai kepada rakyat," katanya.


Beliau turut menegaskan bahawa rakyat berhak menilai kerajaan berdasarkan pelaksanaan dan hasil yang dinikmati mereka.


"Kejayaan sesebuah belanjawan bukan diukur pada gemanya ketika dibentangkan, tetapi pada kesannya selepas dilaksanakan," katanya.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page