NUTP puji keprihatinan kerajaan MADANI terhadap warga pendidik


Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) memuji dan menghargai keprihatinan Kerajaan MADANI terhadap kebajikan warga pendidik serta pembangunan sektor pendidikan menerusi Belanjawan 2027.
Ia termasuk pengumuman pengambilan Pembantu Guru ke 200 sekolah rendah berkepadatan tinggi yang sekaligus bakal mengurangkan beban kerja perkeranian ditanggung guru.
"Ini antara isu yang sekian lama diperjuangkan NUTP, pengambilan Pembantu Guru akan mengurangkan beban tugas guru-- membolehkan mereka berikan tumpuan kepada tugas hakiki, iaitu berinteraksi secara langsung dengan murid.
"Kita yakin sekiranya inisiatif ini dapat dilaksanakan dengan berkesan, ia mampu mengurangkan beban tugas guru di 200 sekolah yang telah dikenal pasti," kata Presidennya, Aminuddin Awang dalam satu kenyataan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan Jumaat lalu turut menjelaskan, pengambilan akan ditambah secara berfasa selepas penilaian keberkesanan pelaksanaannya dijalankan.
Sementara itu NUTP dalam kenyataan sama turut menyambut baik peningkatan peruntukan kerja-kerja membaikpulih dan menyelenggara semua jenis sekolah dari RM1 bilion kepada RM2 bilion pada tahun hadapan.
Jelasnya, pihak sekolah sebelum ini berdepan kesukaran mendapatkan peruntukan daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk melaksanakan kerja pembaikan akibat kekangan dana.
"Dengan peningkatan peruntukan sebanyak sekali ganda ini, kita yakin pihak sekolah akan lebih mudah mendapatkan dana untuk membaik pulih kemudahan dan infrastruktur di sekolah masing-masing," jelasnya.
Menerusi Belanjawan 2027, Kementerian Pendidikan (KPM) menerima peruntukan hampir RM69 bilion, meningkat kira-kira RM2.8 bilion berbanding RM66.2 bilion pada tahun ini sekaligus kekal sebagai kementerian yang menerima peruntukan tertinggi.




Comments